NADI Air Kuning platform anak muda asah bakat e-sukan

TAPAH - Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Air Kuning di sini bukan lagi sekadar pusat capaian internet, malah berperanan sebagai tapak pembangunan bakat muda dalam bidang sukan elektronik (e-Sukan).
Muhammad Afif Quyairi Agus Salim, 17, antara yang menggunakan kemudahan tersebut bagi mengasah kemahiran bersama pasukannya dalam permainan popular Mobile Legends: Bang Bang (MLBB).
Menurutnya, kemudahan lengkap yang disediakan di NADI termasuk capaian internet berkelajuan tinggi, peralatan komputer lengkap dan ruang mesra pengguna memberinya peluang untuk berlatih secara serius.
"Saya bersama empat lagi rakan baru sahaja tubuhkan pasukan 'SimpangDistrict' awal Januari lalu.
"Kami menggunakan sepenuhnya kemudahan yang ada di NADI untuk latihan kerana di sini, mereka ada menyediakan masa khas dan bimbingan untuk kami berlatih secara lebih tersusun.
"Biasanya kami main di rumah dengan internet yang tak stabil, tetapi di sini laju dan selesa. Kami pun boleh fokus belajar dan berlatih," katanya kepada Sinar Harian.
Alif Hakeem Abdullah, 21, pula berkata, program disediakan NADI menjadikan mereka bukan sekadar bermain, tetapi turut mempelajari strategi dan komunikasi berkumpulan.
Katanya, banyak bentuk pembelajaran diperolehi termasuklah pemahaman terhadap peranan setiap karakter, analisis perlawanan serta taktik serangan dan pertahanan.
"Baru-baru ini kami muncul juara dalam pertandingan MLBB yang dianjurkan NADI. Kejayaan ini memberi kami motivasi untuk masuk pertandingan ke peringkat lebih tinggi," katanya.
Bagi Muhammad Danish Hakimie Kamar Dani, 17, penglibatan dalam e-sukan dianggap sebagai aktiviti berfaedah yang dilakukan pada masa lapang.
"Kami cuma ambil masa dua ke tiga jam untuk latihan dan kebiasannya pada hari cuti Sabtu dan Ahad kerana ahli pasukan masih bersekolah," katanya.
Pusat NADI yang dikelolakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) merupakan pemangkin kepada perkembangan komuniti digital luar bandar selaras dengan aspirasi pendigitalan negara.
Selain e-sukan, pusat ini turut menyediakan latihan kemahiran digital asas seperti suntingan video, reka grafik dan literasi media, menjadikan ia sebagai hab pembangunan generasi muda serba boleh.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, setakat ini terdapat lebih 1,000 NADI beroperasi di seluruh negara.
Katanya, beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sebelum ini langsung tidak memiliki premis NADI kini diberi keutamaan untuk penyediaan kemudahan tersebut.
“Banyak NADI masih dalam proses untuk disiapkan, termasuk di Sarawak yang mempunyai sejumlah premis.
"Ada juga NADI yang premisnya telah lama dan memerlukan penambahbaikan, maka ada yang perlu dipindahkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


