Penghormatan terakhir yang penuh tertib dan penghargaan - Khairy

Anwar menyiram air mawar di pusara Tun Abdullah pada Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara pada Selasa sambil disaksikan Khairy (kiri sekali). Foto Bernama
Anwar menyiram air mawar di pusara Tun Abdullah pada Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara pada Selasa sambil disaksikan Khairy (kiri sekali). Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Menantu Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, Khairy Jamaluddin menyifatkan urusan pengebumian bekas Perdana Menteri kelima itu berjalan lancar dan penuh ketenangan hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk rakyat Malaysia yang hadir memberi penghormatan terakhir.

Katanya, keluarga besar Allahyarham menzahirkan rasa syukur kepada ALLAH SWT atas kelancaran seluruh proses istiadat dari awal hingga ke saat pengebumian di Makam Pahlawan, Masjid Negara, pada Selasa.

“Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat ALLAH SWT kerana segala urusan pengebumian jenazah Almarhum Tun Abdullah Ahmad Badawi telah pun berjalan dengan begitu lancar dan tenang,” katanya kepada media selepas selesai urusan pengebumian berkenaan.

Menurutnya, kehadiran ramai pihak termasuk rakan seperjuangan politik, sahabat handai, saudara-mara dan rakyat jelata yang ingin memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham amat dihargai oleh seluruh keluarga.

“Ramai yang hadir, termasuk rakan-rakan politik, rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang yang datang mengenang jasa Pak Lah,” katanya.

Khairy turut memaklumkan kehadiran pemimpin luar negara termasuk Menteri Kanan Singapura, Lee Hsien Loong dan isterinya, Madam Ho Ching, selain perwakilan diplomatik asing yang turut menyatakan penghormatan.

“Tidak lupa kepada seluruh perwakilan kedutaan asing yang hadir hari ini. Ramai yang masih menyimpan kenangan indah semasa Pak Lah menjadi Perdana Menteri dan juga Menteri Luar Negeri,” ujarnya.

Anwar menyertai ribuan jemaah menunaikan solat sunat jenazah buat Allahyarham Tun Abdullah di Masjid Negara yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni. Foto Bernama
Anwar menyertai ribuan jemaah menunaikan solat sunat jenazah buat Allahyarham Tun Abdullah di Masjid Negara yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni. Foto Bernama

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, keluarga turut menghargai kehadiran tetamu kenamaan termasuk Sultan Terengganu, kerabat diraja dari Negeri Sembilan, Pahang serta wakil kerajaan negeri dari Melaka, Sabah dan Pulau Pinang.

“Sudah tentu kami juga menghargai kehadiran pemimpin negara, terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof,” katanya.

“Turut hadir mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tun Musa Hitam. Kehadiran mereka sangat kami hargai,” jelasnya lagi.

Menurut Khairy, Allahyarham Tun Abdullah dikenali sebagai pemimpin yang tidak terlalu menekankan protokol, justeru pihak keluarga membuat keputusan agar semua yang hadir, sama ada tetamu kenamaan mahupun orang awam, diberikan ruang sama rata untuk memberi penghormatan.

“Pak Lah adalah seorang pemimpin yang tidak memberatkan protokol. Sebab itu kita membuat keputusan supaya semua hadir pada waktu yang sama, tanpa mengira status,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Menteri Belia dan Sukan itu turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan istiadat negara tersebut.

“Saya ingin ucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Jabatan Perdana Menteri, khususnya Bahagian Istiadat dan Protokol (BIPA), pihak Jabatan Penerangan, RTM, pihak media dan Masjid Negara yang telah menguruskan segalanya dari mula hingga akhir,” katanya.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Jakim, seluruh pasukan keselamatan negara termasuk Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia, terutama mereka yang terlibat sebagai pengusung jenazah dari dewan solat hingga ke Makam Pahlawan,” tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!