Pertemuan dua srikandi negara curi perhatian

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Pertemuan antara dua isteri bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Datin Seri Rosmah Mansor di Masjid Negara mencuri perhatian umum pada Selasa.
Kedua-duanya hadir bagi memberikan penghormatan kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang pernah menerajui tampuk pemerintahan negara sebagai Perdana menteri kelima.
Rakaman momen ringkas yang memaparkan pertemuan dan interaksi antara Tun Dr Siti Hasmah dan Datin Seri Rosmah itu tular di media sosial selepas dimuat naik oleh pengguna TikTok, Ihsan Messrs Faiz Syukri & Co.
Kemesraan kedua-dua mereka terserlah apabila mereka bersalaman dan saling berpelukan antara satu sama lain.
Video berdurasi 17 saat berkenaan menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen yang menganggap pertemuan itu sebagai simbol penyatuan dan penghormatan terhadap jasa seorang negarawan.
“Apa pun perbezaan politik, semuanya seakan terhenti apabila seorang tokoh besar seperti Pak Lah pergi buat selama-lamanya,” demikian antara komen netizen di TikTok.
Pertemuan itu turut dilihat sebagai simbolik kepada penghormatan dua srikandi negara yang masing-masing pernah menyaksikan sendiri cabaran suami mereka ketika bergelar pemimpin nombor satu negara.
Tun Dr Siti Hasmah ialah isteri kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri keempat dan ketujuh, manakala Datin Seri Rosmah merupakan isteri kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri keenam.
Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, 85, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) semalam dan telah dikebumikan di Makam Pahlawan selepas solat Zuhur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!