Penduduk Jepun semakin 'pupus'

TOKYO - Jumlah warganegara Jepun yang tinggal di dalam negara merekodkan penyusutan tahunan tertinggi setakat ini, dengan kejatuhan sebanyak 898,000 orang kepada 120.3 juta setakat Oktober 2024, menurut data rasmi kerajaan.
Kadar kelahiran Jepun yang antara terendah di dunia menyebabkan kekurangan tenaga kerja, bilangan pengguna semakin berkurangan dan syarikat bergelut untuk merekrut pekerja baharu.
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri memaklumkan ia merupakan kejatuhan terbesar sejak data boleh banding mula dikumpul pada tahun 1950.
Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshimasa Hayashi berkata, kerajaan sedang berusaha membantu pasangan muda yang mahu mempunyai anak tetapi terhalang oleh faktor ekonomi.
“Kami faham kadar kelahiran yang terus menurun berpunca daripada ramai individu yang ingin membesarkan anak namun tidak dapat memenuhi hasrat tersebut,” katanya.
Jumlah keseluruhan penduduk Jepun termasuk warga asing turut menurun sebanyak 550,000 orang kepada 123.8 juta iaitu penurunan tahunan selama 14 tahun berturut-turut, susulan kegagalan negara itu menangani kemerosotan populasi yang berlarutan.
Golongan muda kini menangguhkan perkahwinan dan anak atas pelbagai sebab, pekerjaan yang tidak stabil dan perubahan nilai sosial yang semakin kurang menekankan perkahwinan.
Jepun mula membuka ruang kepada tenaga kerja asing muda sebagai alternatif, namun dasar imigresennya masih ketat dan hanya membenarkan kemasukan sementara.
Hayashi berkata, kerajaan sedang berusaha menaikkan gaji golongan muda di samping menawarkan bantuan penjagaan anak.
“Kami akan melaksanakan langkah menyeluruh agar setiap individu yang ingin mempunyai anak dapat berbuat demikian dengan yakin dan selesa,” katanya. - AFP
Info
Negara kelahiran terendah
- Korea Selatan
- Hong Kong
- Singapura
-Taiwan
- Itali
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
