Dokumentari jasa Pak Lah akan diulang siar – Fahmi

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi akan menyiarkan semula dokumentari khas serta profil pencapaian Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi bagi mengenang jasa dan legasi bekas Perdana Menteri itu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, dokumentari tersebut bagi tatapan generasi muda masa kini untuk memahami sumbangan besar bekas Ahli Parlimen Kepala Batas itu terhadap negara.
"Saya akan minta supaya profil dan sedikit dokumentari tentang apa yang telah berjaya dilaksanakan sewaktu pentadbiran Perdana Menteri kelima dapat diulang siar sebagai tatapan utama generasi muda.
"Memetik kata-kata Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), Allahyarham seorang negarawan yang sangat membumi.
"Saya secara peribadi turut bersedih dan ingin mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham,” katanya ketika ditemui di Masjid Negara pada Selasa.
Terdahulu jenazah Allahyarham Tun Abdullah selamat disemadikan di Makam Pahlawan dan diberi penghormatan negara.
Dalam pada itu, Fahmi turut menzahirkan penghargaan terhadap keputusan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang memperkenankan jenazah Allahyarham dimakamkan di Makam Pahlawan sebagai penghormatan tertinggi negara.
Jenazah Allahyarham sebelum itu ditempatkan di Dewan Solat Utama, Masjid Negara untuk penghormatan terakhir bermula pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
