PRK Ayer Kuning: Bawani kemuka tiga janji buat Ayer Kuning

Bawani (tengah) ketika sesi pembentangan manifesto PSM di pekarangan Stesen Bas Tapah pada Selasa.
Bawani (tengah) ketika sesi pembentangan manifesto PSM di pekarangan Stesen Bas Tapah pada Selasa.
A
A
A

TAPAH - Memasuki hari keempat kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Bawani KS daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) menjadi calon pertama membentangkan manifesto.

Bawani berkata, antara tiga manifesto dikemukakan adalah menyediakan kemudahan asas mencukupi seperti menaik taraf pasar awam di Ayer Kuning, menyelesaikan gangguan bekalan elektrik dan liputan komunikasi serta menambah baik fasiliti sukan, pejabat pos juga bank.

Menurut Bawani selaku Timbalan Setiausaha Agung PSM, pihaknya turut menjanjikan pembangunan seimbang dan sekata di DUN berkenaan dengan menaik taraf pekan Ayer Kuning, mewujudkan peluang pekerjaan beserta gaji setimpal serta rumah mampu milik bawah RM100,000.

“Kami juga janji akan desak pihak berkuasa tempatan (PBT) naik taraf sistem perparitan dan lampu jalan utama.

“Selain itu, baik pulih papan tanda uzur, taman rekreasi dan rumah awam serta tukar lot perumahan ‘master title’ kepada individu.

“Tiga daripada lima tuntutan rakyat ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berjaya dicapai antaranya jalan diturap baharu dari Kampar ke Teluk Intan, kembalikan perkhidmatan mesin ATM dan Perak Transit ambil alih perkhidmatan bas awam,” katanya.

Peguam itu berkata demikian ketika sesi pembentangan manifesto PSM di pekarangan Stesen Bas Tapah pada Selasa.

Bawani, 39, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Utara Malaysia (UUM), aktif mewakili pelbagai komuniti sebagai peguam hak asasi manusia.

Pada PRU15 lalu, Bawani bertanding di kerusi DUN Ayer Kuning dalam pertembungan lima penjuru yang dimenangi oleh calon Barisan Nasional (BN), Allahyarham Ishsam Shahruddin.

Artikel Berkaitan:

Pada PRU14, beliau menjadi calon PSM bagi kerusi DUN Malim Nawar, namun tewas selepas hanya memperoleh 213 undi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!