Harvard University tolak tuntutan Trump

CAMBRIDGE - Harvard University menolak tuntutan pentadbiran Presiden Donald Trump untuk mengubah dasar institusi tersebut meskipun berisiko kehilangan dana hampir RM42.7 bilion (AS$9 bilion).
Presiden universiti berkenaan, Alan M Garber berkata, tuntutan tersebut melanggar hak perlembagaan universiti, khususnya kebebasan bersuara dan autonomi akademik.
Beliau menegaskan bahawa pihak universiti tidak akan tunduk kepada desakan untuk melakukan pembaharuan dalam tadbir urus, proses pengambilan pekerja, dan kemasukan pelajar susulan arahan yang dikeluarkan oleh Trump.
“Pihak universiti tidak akan berunding atau menyerahkan kebebasan kami kepada mana-mana pihak.
“Walaupun sebahagian syarat yang dikemukakan kerajaan bertujuan membendung diskriminasi, namun kebanyakannya adalah cubaan mereka untuk mengawal dasar universiti,” katanya.
Pada Jumaat, kerajaan Amerika Syarikat (AS) telah menghantar senarai tuntutan terperinci kepada Harvard University, termasuk permintaan supaya audit terhadap pandangan politik dan pemikiran pelajar serta pensyarah dijalankan.
Sementara itu, beberapa universiti lain seperti Columbia dan Princeton University dilaporkan telah mematuhi sebahagian tuntutan pentadbiran Trump untuk mengelakkan kehilangan dana persekutuan.
Dalam perkembangan berkaitan, Persatuan Profesor Universiti Amerika (AAUP) telah memfailkan saman terhadap pentadbiran Trump, mendakwa bahawa tindakan tersebut melanggar hak perlembagaan dan melebihi kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Hak Sivil 1964.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

