Nelayan ditemukan meninggal dunia ketika cari kupang

PORT DICKSON - Seorang nelayan tempatan yang dilaporkan hilang ketika mencari kupang di Sungai Sekawang Pasir Panjang Teluk Kemang ditemukan meninggal dunia pada Isnin.
Anak mangsa bertindak membuat laporan polis selepas bapanya, Mohd Taib Jantan, 51, tidak pulang ke rumah sejak keluar jam 2 petang, Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Kemang, Mohd Zulfadzli Osman berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada jam 8 malam.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat membabitkan 16 anggota bomba dan disertai oleh orang awam di lokasi kejadian.
"Pada jam 11.40 malam, mangsa telah dijumpai di kawasan Pulau Tikus oleh orang awam.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mayat telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

