59 peratus rakyat berpendapatan rendah sokong Perikatan Nasional

Keputusan undian yang dilakukan YouGov Omnibus.
Keputusan undian yang dilakukan YouGov Omnibus.
A
A
A

SHAH ALAM - Kira-kira 59 peratus rakyat berpendapatan rendah di Malaysia menyokong pembentukan kerajaan Perikatan Nasional hasil kajian yang dilakukan mengikut syarikat pengundian terkemuka dunia, YouGov.

Menurut laporan YouGov, sokongan terhadap pakatan politik didapati berbeza mengikut pendapatan isi rumah dengan lebih separuh rakyat berpendapatan rendah menyokong gabungan kerajaan yang terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan Pas.

YouGov turut melaporkan, dalam segmen itu 27 peratus lagi menyokong Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) bagi menubuhkan kerajaan, sementara 14 peratus lagi tidak pasti untuk membuat keputusan.

Menurutnya, keputusan itu diperoleh berdasarkan undian melibatkan seramai 1,162 rakyat Malaysia yang dilakukan YouGov Omnibus dari 25 hingga 27 Februari lalu sebelum pelantikan Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Rakyat Malaysia yang berpendapatan tinggi lebih cenderung memilih PH untuk membentuk kerajaan dengan undian sebanyak 71 peratus berbanding rakyat pendapatan rendah. Lokasi juga mempengaruhi sokongan rakyat terhadap gabungan yang disokong.

“Mereka yang tinggal di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Putrajaya lebih cenderung memberi sokongan terhadap PH dengan 55 peratus undian berbanding 33 peratus undian terhadap Bersatu, UMNO dan Pas daripada mereka yang tinggal di bahagian lain di Malaysia yang memberikan sokongan kira-kira 45 peratus,” katanya.

Sementara itu, Ketua Perhubungan Awam dan Undian Asia-Pasifik YouGov, Dr Campbell White menyifatkan, perbezaan ketara antara kawasan bandar yang lebih mewah di Malaysia dan kawasan luar bandar yang kurang mewah menunjukkan cabaran yang dihadapi oleh situasi politik semasa bagi masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

“Kerajaan seterusnya menghadapi tugas yang sukar untuk memulihkan keyakinan rakyat dan menstabilkan negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu, ketika Malaysia dilanda kemelut politik sejurus peletakan jawatan mengejut Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad, data menunjukkan sebanyak 73 peratus rakyat Malaysia bimbang akan masa depan negara itu.

Katanya, dalam isu kesan kemelut itu ke atas ekonomi negara dalam tempoh 12 bulan akan datang, sebanyak 37 peratus rakyat berpendapat bahawa ekonomi akan bertukar lebih teruk sementara 32 peratus meramalkan ia akan lebih baik dan 31 peratus lagi menjangkakan keadaan ekonomi akan kekal seperti sedia ada.