Polis terima tiga laporan halang operasi penguat kuasa di kebun durian haram

Tangkap layar pekebun-pekebun yang bertindak menghalang laluan pihak penguat kuasa dengan membawa kain rentang.
Tangkap layar pekebun-pekebun yang bertindak menghalang laluan pihak penguat kuasa dengan membawa kain rentang.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Tiga laporan polis telah diterima berhubung tindakan penguatkuasaan ke atas kebun durian haram di kawasan Sungai Ruan, Raub.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abd Rahman berkata, laporan tersebut berkait dengan dakwaan tindakan menghalang penjawat awam dalam menjalankan tugas, yang difailkan oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP).

"Kita terima tiga laporan termasuk daripada pihak UPNP pada 10 April lalu apabila penguatkuasaan disekat laluan oleh sekumpulan pekebun durian haram.

"Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Pada Jumaat, tular rakaman video dalam Facebook Penduduk Raub Bentong yang mendakwa anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan UPNP kena sekat dengan penduduk Sungai Klau.

Difahamkan sekumpulan pekebun itu diketuai Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui.

Mengulas lanjut, Mohd Shahril berkata, pihaknya yang dibantu PGA berjaya mengawal keadaan tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Katanya, kira-kira 50 pekebun telah bertindak menghalang laluan dengan membawa kain rentang bagi menunjukkan ketidakpuasan hati kerana penguat kuasa memusnahkan tanaman yang didakwa telah ditanam sekitar 30 tahun lalu.

"Jadi, kita dan PGA Batalion 7 telah berjaya mengawal keadaan tanpa sebarang insiden yang tidak diingini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Mohd Shahril menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dalam mana-mana himpunan bantahan operasi pemusnahan tanaman pokok haram di daerah Raub.

"Hormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan berkenaan permohonan semakan kehakiman bagi notis pengosongan tanah oleh pekebun durian musang king di daerah Raub pada Julai tahun lalu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!