Zionis bedil hospital lagi

Kemusnahan teruk di salah sebuah bangunan di al-Ahli yang dibom Israel. - Foto: Agensi
Kemusnahan teruk di salah sebuah bangunan di al-Ahli yang dibom Israel. - Foto: Agensi
A
A
A

BANDAR GAZA - Rejim Zionis bertindak zalim apabila ia kembali membedil sebuah hospital utama di Genting Gaza pada Ahad ketika kempen pengeboman diperhebatkan ke seluruh wilayah itu.

Pegawai kesihatan di Hospital al-Ahli memberitahu mereka terpaksa memindahkan pesakit dalam tempoh kira-kira 20 minit sebelum kemudahan perubatan itu dibedil ganas.

“Ratusan pesakit dan mangsa cedera dipindahkan pada waktu tengah malam dan tiada tempat mahu dituju. Keadaan itu jelas membahayakan nyawa mereka,” kata jurucakap Kementerian Kesihatan di Gaza, Khalil al-Deqran.

Bedilan itu memusnahkan makmal genetik setinggi dua tingkat selain membinasakan farmasi dan bangunan jabatan kecemasan serta struktur sekitarnya.

Sementara itu, Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menerusi catatan di platform X memaklumkan seorang kanak-kanak meninggal dunia kerana 'gangguan rawatan' susulan serangan ke atas kompleks perubatan di utara Gaza tersebut.

“Kami mendapat maklumat, kira-kira 40 pesakit kritikal tidak dapat dipindahkan,” ujarnya.

Serangan yang sekali lagi menyasarkan hospital itu berlaku ketika pemimpin Hamas memulakan pusingan baharu rundingan damai di Kaherah bagi melaksanakan semula perjanjian gencatan senjata.

Dalam insiden berasingan, puluhan penduduk Palestin terkorban dalam serangan di Khan Yunis, selatan Gaza setelah tentera Israel kini mengepung kawasan tersebut. - AFP

Info:

Artikel Berkaitan:

>Pada 17 Oktober 2023, al-Ahli mengalami kemusnahan besar setelah kawasan parkir kemudahan itu dibom.

>Pada bulan lalu, Zionis membedil ambulans di Gaza, mengorbankan 15 petugas perubatan dan anggota penyelamat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!