Wuhan bukan lagi bandar asal usul Covid-19

WUHAN – Kemudahan perubatan ini dibina dalam tempoh 10 hari selepas lonjakan kes Covid-19 di Wuhan, China pada awal 2020.
Hospital Huoshenshan pernah menjadi simbol perjuangan bandar tersebut untuk memerangi virus itu yang pertama kali muncul di sana.
Kini, kompleks tersebut menjadi 'gajah putih' dan tersembunyi di sebalik pembinaan tembok baharu.
Bandar tersebut pernah melaksanakan langkah lockdown selama 76 hari pada 23 Januari 2020 yang menjadi titik tolak kepada kemunculan era pandemik Covid-19 di seluruh dunia.
Selepas lima tahun, situasi kembali seperti biasa di bandar tersebut yang sebelum ini lengang dek penangan Covid-19.

“Penduduk meneruskan kehidupan semula. Segala kenangan pada masa itu semakin dilupakan,” kata penuntut universiti, Jack He, 20.
He cuba mengimbau detik hitam tersebut ketika dia terpaksa mengikuti sesi persekolahan dalam talian ketika masih belajar di sekolah tinggi pada masa itu.
“Langkah memulakan kembali kehidupan seperti biasa untuk tempoh beberapa tahun ini sebenarnya agak sukar. Tetapi, hidup perlu diteruskan,” ujarnya.
Di bekas tapak pasar borong makanan laut Huanan di mana saintis percaya virus SARS-CoV-2 mungkin telah disebarkan dari haiwan kepada manusia, sebuah dinding telah dibina untuk melindunginya daripada pandangan orang ramai.
Ketika kunjungan AFP baru-baru ini, beberapa pekerja dilihat sedang memasang perhiasan untuk perayaan Tahun Baru Cina pada tingkap di aras dua premis itu yang mana beberapa kedai masih beroperasi.
Terus kunci mulut
Penduduk setempat tidak membuat sebarang 'tugu' untuk menandakan kepentingan lokasi tersebut atau sebarang binaan khas bagi memperingati mereka yang menjadi mangsa Covid-19.
Peringatan rasmi lockdown di Wuhan hanya tertumpu kepada kerja keras pasukan perubatan dan kecekapan bandar itu bertindak balas ketika wabak tersebut mengganas meskipun berdepan kritikan komuniti antarabangsa berhubung 'langkah tapisan' susulan pengesanan kes awal pada Disember 2019.
Selain itu, kedai-kedai lama telah dipindahkan ke kawasan pembangunan baharu di luar pusat bandar berkenaan ketika ia berusaha memulihkan reputasi sebagai tempat asal usul Covid-19.
Lebih 12 penjual di Pasar Makanan Laut Huanan baharu enggan membuka mulut tentang kisah lima tahun lalu malah mereka dilarang untuk bercakap dengan media.
“Perniagaan di sini tidak lagi sama seperti sebelum ini,” kata seorang peniaga.
Jadi tumpuan pelancong
Salah satu tinggalan era pandemik Covid-19 yang masih wujud ialah stesen minyak yang pernah berfungsi sebagai 'pusat pendidikan anti-Covid-19'.
Dinding premis itu turut tertera garis masa penutupan bandar tersebut berserta gambar Presiden Xi Jinping ketika melawat ke Wuhan pada Mac 2020.
Seorang pekerja memberitahu sebuah bangunan berhampiran dijadikan pusat pameran, namun ia hanya dibuka apabila ada kunjungan pemimpin.

Beberapa hari sebelum ulang tahun kelima lockdown di Wuhan, masyarakat setempat sudah tidak lagi beria-ia mengenang Covid-19 kerana semakin sibuk dengan aktiviti masing-masing.
Pasar Jalan Shanhaiguan dan pusat beli-belah Chuhe Hanjie kembali sesak dengan orang ramai yang mahu membuat persiapan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.
“Tumpuan yang diberikan sebelum ini sedikit sebanyak telah memberikan impak positif. Lebih ramai pelancong berkunjung ke Wuhan sekarang,” kata penduduk tempatan, Chen Ziyi, 40. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!