MARA tubuh dua pasukan petugas khas laksana Pelan Transformasi

SHAH ALAM – Dua pasukan petugas khas telah ditubuhkan bagi menggerakkan Pelan Transformasi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang merangkumi aspek pengurusan, tadbir urus kewangan, pembangunan keusahawanan dan pendidikan.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya akan membuat pelaporan awam secara telus dan berkala berhubung hasil pelaksanaan pelan berkenaan bagi dinilai serta ditambah baik dari semasa ke semasa.
Menurutnya, pasukan petugas pertama diketuai oleh bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang juga Ahli Majlis MARA, Tan Sri Muhammad Ibrahim, manakala pasukan kedua pula dipimpin oleh bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ketua Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Profesor Tan Sri Noor Azlan Ghazali.
“Pasukan pertama akan meneliti semua cadangan penambahbaikan, pemerkasaan dan melaksanakan transformasi dalam aspek tadbir urus kewangan, disiplin kewangan, pelaburan serta pengurusan organisasi MARA.
“Pasukan kedua pula akan memberi tumpuan kepada agenda pemerkasaan pembangunan usahawan dan pendidikan Bumiputera secara lebih menyeluruh,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, pihaknya turut mengalu-alukan sebarang maklum balas atau pandangan orang ramai berhubung agenda pelan tersebut.
“MARA ialah amanah orang Melayu dan Bumiputera. Justeru, pelan ini mestilah dilaporkan dan didedahkan kepada umum agar institusi bangsa ini sentiasa disemak imbang serta dipertanggungjawabkan atas apa jua pencapaian yang diperoleh,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

