'Kalau ekornya ada, kepala juga mesti ada' - Shafie Apdal

Mohd Shafie ketika merasmikan Kejohanan Badminton Terbuka Warisan 2025 di Inanam, Kota Kinabalu.
Mohd Shafie ketika merasmikan Kejohanan Badminton Terbuka Warisan 2025 di Inanam, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mempersoalkan jaminan bahawa Ketua Menteri Sabah tidak terlibat dalam skandal berkaitan isu pelombongan mineral seperti yang dinyatakan oleh Ketua Pesuruhanjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, baru-baru ini.

Menurutnya, keyakinan semata-mata tidak mencukupi dalam isu yang melibatkan integriti dan ketelusan pentadbiran, sebaliknya, perkara itu perlu disiasat secara menyeluruh, termasuk meneliti dokumen dan jejak transaksi kewangan.

"Kalau itu yang beliau (Azam) katakan, tetapi kita sudah tahu keadaan-keadaan yang akan berbangkit. Kalau ekornya ada, kepalanya juga mesti ada,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Badminton Terbuka Warisan 2025 di Inanam, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Azam yang menyatakan beliau yakin Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor tidak terlibat dalam video berhubung dakwaan skandal rasuah perlombongan mineral melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.

ADUN Senallang itu berkata, walaupun kelulusan sesuatu projek tidak semestinya menjadikan pihak yang meluluskannya bersalah, namun setiap aspek perlu diteliti secara menyeluruh.

"Perkara ini harus diperincikan secara menyeluruh dari segi dokumentasi, aliran kewangan, transaksi. Penting untuk kita lihat keadaan mana yang boleh kita katakan bahawa ada penyelewengan," katanya.

Mohd Shafie turut menekankan bahawa prinsip tatakelola pentadbiran yang bersih perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan tidak hanya menjadi slogan semata-mata.

"Apa yang penting ini selaras dengan apa yang diarahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan tatakelola pentadbiran. Yang ada rasuah harus kita banteras di semua peringkat. Jangan hanya dilaungkan tetapi dari segi tindakan, dasar ini perlu dilaksanakan sebaik mungkin," katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie yang juga Ketua Pembangkang Sabah menyifatkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai medan paling tepat untuk membahaskan pelbagai isu, bukan sahaja melibatkan dasar kerajaan tetapi juga kontroversi berkaitan kelulusan lesen perlombongan mineral di Sabah.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan ADUN Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mahu isu berkenaan dijelaskan secara terbuka dalam persidangan DUN yang sedang berlangsung.

“Saya ingat itu penting, bukan hanya dari sudut dasar. Apa yang telah dinyatakan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) itu adalah dasar, dan kita harus bincangkan secara terperinci sama ada dasar yang dibangkitkan itu bersesuaian dengan keadaan persekitaran di Sabah.

“Kita perlu melihat dari pelbagai sudut – termasuk impaknya terhadap ekonomi negeri, keperluan rakyat, serta infrastruktur asas yang tersedia," katanya.

Mohd Shafie turut menegaskan bahawa fungsi sebenar sidang DUN adalah untuk menyuarakan suara rakyat di peringkat akar umbi, bukan sekadar mendengar perancangan kerajaan.

“Kita adalah wakil rakyat, bukan wakil dasar atau wakil kerajaan. Tugas kita adalah menyuarakan rintihan dan keperluan rakyat yang kita wakili,” katanya.

Menurut beliau, perbahasan di dalam dewan perlu lebih berfokus kepada penyelesaian, bukan sekadar mengkritik.

“Kita perlu perhalusi setiap isu. Bukan setakat menyuarakan masalah, tetapi apakah tindakan dan penyelesaiannya. Itulah perkara utama yang perlu diketengahkan dalam dewan ini. Tujuan kita bukan hanya mengkritik, tetapi memberi pandangan dan cadangan untuk menambah baik keadaan rakyat di Sabah yang masih jauh ketinggalan,” katanya lagi.

Beliau turut menyatakan bahawa beberapa perkara penting berkaitan isu itu akan dibangkitkannya dalam ucapan penuh yang dijadualkan disampaikan dalam sidang DUN yang berlangsung pada Isnin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!