Presiden Korea Selatan tidak hadir sesi pendengaran pertama kes pendakwaannya

Penyokong Suk Yeol berhimpun berhampiran kediaman Presiden itu di Seoul pada Ahad. Foto Xinhua
Penyokong Suk Yeol berhimpun berhampiran kediaman Presiden itu di Seoul pada Ahad. Foto Xinhua
A
A
A

SEOUL - Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol tidak akan menghadiri sesi pendengaran pertama kes pendakwaannya minggu ini atas faktor keselamatan, lapor agensi berita Yonhap yang memetik kenyataan peguamnya pada Ahad.

Peguam yang mewakili Suk Yeol, Yun Gap Geun memaklumkan Mahkamah Perlembagaan akan mengadakan sesi hujahan lisan pertama berhubung perbicaraan pendakwaan terhadap Suk Yeol pada Selasa, manakala penyiasat sedang berusaha menahan presiden yang didakwa itu bagi disoal siasat dalam kes berasingan berkaitan pelaksanaan undang-undang tentera yang hanya bertahan seketika.

"Ketika usaha untuk melaksanakan waran tangkap yang meyalahi undang-undang dan tidak sah sedang dijalankan, terdapat kebimbangan terhadap keselamatan diri dan risiko kejadian yang tidak diingini.

"Bagi presiden menghadiri perbicaraan, isu keselamatan dan perlindungan peribadi perlu diselesaikan terlebih dahulu," kata Yun.

Presiden yang didakwa itu akan hadir ke perbicaraan jika isu berkenaan dapat diselesaikan, tambah Gap Geun.

Mahkamah Perlembagaan sebelum ini memaklumkan bahawa sesi hujahan lisan bagi perbicaraan itu akan bermula pada Selasa, dengan lima sesi pendengaran dijadualkan berlangsung sehingga 4 Februari.

Peguam Suk Yeol sebelum ini menyatakan bahawa presiden itu akan menghadiri perbicaraan kes pendakwaannya pada masa yang 'sesuai' untuk membela dirinya. - Bernama-Yonhap

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!