Tekong ditahan bawa PATI Bangladesh

Kenderaan ini ditahan semasa penugasan Op Taring Wawasan di Kampung Kubang Kuau, Rantau Panjang pada Ahad.
Kenderaan ini ditahan semasa penugasan Op Taring Wawasan di Kampung Kubang Kuau, Rantau Panjang pada Ahad.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Tindakan seorang tekong membawa tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Bangladesh berjaya dikesan apabila kenderaan dinaiki mereka ditahan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan semasa penugasan Op Taring Wawasan di Kampung Kubang Kuau di sini, pada Ahad.

Semasa melakukan rondaan rutin pada jam 10.30 malam itu, anggota bertugas telah mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan sebelum menahannya untuk pemeriksaan.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat tiga lelaki warga Bangladesh di dalam kenderaan terbabit.

"Dua daripada mereka menunjukkan pasport meragukan, manakala seorang lagi tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

“Pemandu berusia 29 tahun itu dipercayai menyediakan perkhidmatan pengangkutan dan ditahan di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Seorang tekong dan tiga PATI warganegara Bangladesh yang ditahan anggota Batalion 7 PGA Kuantan.
Seorang tekong dan tiga PATI warganegara Bangladesh yang ditahan anggota Batalion 7 PGA Kuantan.

Menurut beliau, sementara itu ketiga-tiga PATI ditahan bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tidak memiliki dokumen sah.

Ujarnya, kesemua suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

Nik Ros Azhan memberitahu, PGA akan terus mempergiatkan rondaan dan kawalan sempadan bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta kemasukan PATI secara haram ke negara ini.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!