Sampah haram terus jadi masalah besar

Gunaraj.
Gunaraj.
A
A
A

SEBELUM menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj George pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis di Majlis Perbandaran Selayang (MPS) selama tujuh tahun iaitu dari 2010 hingga 2017.

Gunaraj telah berkhidmat sebagai ADUN selama dua penggal selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada 2018 dan 2023 masing-masing dengan majoriti undi 33,600 dan 46,349.

Dalam penggal kedua ini, beliau bertekad mahu menyelesaikan isu banjir kilat dan pembuangan sampah haram di kawasan tersebut. Ikuti wawancara Sinar Harian, SITI AISYAH MOHAMAD bersama Gunaraj.

SINAR HARIAN: Apakah masalah yang dikenal pasti di kawasan Yang Berhormat (YB) dan apa yang telah dirancang atau sedang dilaksanakan?

GUNARAJ GEORGE: Sentosa adalah satu kawasan besar meliputi kawasan Taman Sentosa, Bandar Botanik, Bandar Bukit Tinggi dan juga sebahagian daripada Kampung Jawa. Taman Sentosa merupakan kawasan paling besar populasi dan di dalamnya ada lebih 25 taman.

Di Taman Sentosa, kita menghadapi masalah di mana projek-projek yang diluluskan adalah pembangunan berpoket yang mana pemaju diberi kelulusan untuk membina 100 hingga 150 rumah bagi setiap pembinaan. Ini menyebabkan longkang yang dibina kadangkala besar atau kecil, malah ada yang tiada langsung. Akibatnya, berlaku masalah banjir kilat kerana air hujan tidak dapat keluar dengan cepat ke sungai berdekatan.

Pada 2018 iaitu ketika tahun pertama saya menjadi wakil rakyat, saya telah turun padang dan mendapati banyak longkang kecil dan dipenuhi sampah menyebabkan ia menghalang air mengalir. Hasrat saya untuk memastikan taman ini diberi perhatian sepenuhnya. Saya telah bawa perkara ini ke pihak berkuasa tempatan (PBT).

Baru-baru ini juga, saya dimaklumkan oleh Datuk Bandar bahawa perancangan terbaharu mengenai mitigasi banjir Bandar Sentosa dengan peruntukan bajet sebanyak RM70 juta oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) telah diluluskan. Saya pasti majlis akan beri lebih banyak tumpuan dan akan memastikan longkang, lampu dan jalan dinaik taraf seperti dimahukan penduduk.

Artikel Berkaitan:

Sebenarnya, masalah banjir ini telah dapat dikurangkan sedikit tetapi terdapat hanya satu masalah iaitu kesedaran penduduk yang mungkin membuang sampah ke dalam longkang.

Selain itu, di Bukit Tinggi dan Bandar Botanik diakui ia merupakan satu perancangan bandar yang bagus tetapi penduduk mahukan perkhidmatan lebih baik daripada PBT atau kontraktor yang dipertanggungjawabkan.

Ini kerana, sebagai pembayar cukai, penduduk mahu longkang mereka bersih, sampah diangkut dengan baik, taman diselenggara, pokok ditebang, lampu jalan berfungsi dan sebagainya, selain masalah pembuangan sampah secara haram juga ditangani.

Boleh YB jelaskan lebih lanjut mengenai masalah pembuangan sampah haram?

Salah satu masalah yang dihadapi di Sentosa ini termasuk juga isu pembuangan sampah haram di kawasan lapang mungkin oleh kontraktor yang dilantik kilang-kilang dan kemudian mereka bakar sisa ini. Setiap kali majlis cuba ambil tindakan, ia tidak berjaya.

Jadi, apa yang saya buat adalah bekerjasama dengan penduduk untuk membersihkan kawasan tersebut. Setakat ini saya dah kumpul seramai lebih 160 peserta yang berminat untuk bantu atasi masalah ini dengan menjayakan Kebun Komuniti.

Mereka bantu saya bersihkan tapak berkenaan dengan mesin jentolak dan kemudian guna tanah lot tersebut untuk menanam serai, durian dan tanaman lain, hasil ini kemudian dijual semula kepada penduduk serta masyarakat luar.

Gunaraj menyantuni penduduk di Sentosa.
Gunaraj menyantuni penduduk di Sentosa.

Secara tidak langsung, ia juga dapat menambah pendapatan sampingan penduduk dan seterusnya mengatasi masalah pembuangan sampah secara haram di kawasan ini.

Apakah perancangan YB untuk membangunkan lagi kawasan ini khususnya dalam sektor melibatkan pembangunan ekonomi rakyat?

Dari segi peluang pekerjaan, ada juga program yang disediakan untuk bantu ekonomi penduduk di kawasan sekitar.

Sebagai contoh, baru-baru ini sebuah pasar raya besar telah dibuka di Kampung Jawa. Saya telah bekerjasama dengan pasar raya itu untuk mengambil pekerja dalam kalangan penduduk sini. Ada kirakira 350 peluang pekerjaan baharu telah diwujudkan. Malah, kita juga bernasib baik kerana sebuah pasar raya juga akan dibuka tidak lama lagi.

Ada juga kilang dan gudang di sekitar kawasan ini yang mewujudkan banyak peluang pekerjaan untuk penduduk menambah pendapatan.

Apa projek atau program yang telah dilaksanakan atau sedang dirancang oleh YB khususnya bagi membantu rakyat pada masa depan?

Banyak perkara yang kita telah buat, salah satunya kita telah mewujudkan taman warga emas di Taman Sentosa. Setiap tahun juga kita adakan program Bersih dan Hijau sebagai projek untuk bekerjasama dengan semua persatuan penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan kawasan kita sentiasa bersih.

Menerusi projek ini kita telah menanam sebanyak 500 pokok di sekitar Sentosa sejak empat tahun lalu. Program ini berjaya dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak. Mereka diminta membantu dengan bergotong-royong membersihkan kawasan dan melaksanakan program bersama pelajar sekolah melalui kempen kitar semula.

Kita juga ada program lain untuk anak-anak yang tidak dapat menulis dan membaca. Biro Pendidikan kita telah jalankan beberapa program di mana pada setiap Sabtu, program kelas khas diadakan di pejabat saya khusus untuk mereka.

Malah, ada banyak lagi program lain yang sedang dirancang dan dalam pertimbangan untuk dilaksana sepanjang tahun ini bagi membantu penduduk setempat dari semua aspek termasuk sosial dan ekonomi.

Apakah harapan YB untuk 2025 khususnya dalam membantu rakyat mendepani ekonomi semakin mencabar?

Banyak program dirancang untuk tahun ini tetapi yang diberi keutamaan ialah pendidikan. Saya mahu memastikan semua anak-anak diberi pendedahan mengenai bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Kebanyakan mereka tidak tahu kalau mereka tidak berjaya dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ada TVET yang boleh mereka ceburi untuk mengembangkan kemahiran.

Program seperti ini penting dan saya telah mengadakan satu program kesedaran di Petaling Jaya pada tahun lalu yang dihadiri lebih 3,000 pelajar. Untuk pelajar dari Selangor kita sediakan bas dengan kerjasama beberapa agensi serta kolej yang menawarkan program TVET.

Kita turut adakan pertandingan menyanyi bagi mengasah bakat kanak-kanak dan secara tidak langsung dapat merapatkan jurang antara penduduk setempat. Selain itu, terdapat juga aktiviti yang dijalankan bersama dengan ahli majlis dan ketua komuniti untuk memastikan kebersihan di kawasan ini terjaga dan terurus.

Saya harap usaha saya dengan mengadakan pelbagai bentuk program kesedaran ini dapat memperkasakan bidang pendidikan dalam kalangan generasi muda.

Masalah banjir kilat juga menjadi fokus utama saya untuk diselesaikan walaupun isu ini semakin berkurangan selepas langkah pencegahan dan program kesedaran bersama penduduk telah dilaksanakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!