Pembangunan bola sepak Malaysia gagal

Pelaburan dana yang tinggi untuk program pembangunan bola sepak negara ketika ini boleh dianggap satu pembaziran ketika Indonesia sudah jauh berlari di hadapan dengan perancangan program mereka yang lebih tersusun. Gambar hiasan 123rf
Pelaburan dana yang tinggi untuk program pembangunan bola sepak negara ketika ini boleh dianggap satu pembaziran ketika Indonesia sudah jauh berlari di hadapan dengan perancangan program mereka yang lebih tersusun. Gambar hiasan 123rf
A
A
A

KE mana arah tuju pembangunan bola sepak Malaysia? Itu antara persoalan yang timbul dalam pemikiran peminat bola sepak negara selepas dihidangkan dengan kejayaan pasukan 'ubi muda' negara jiran, Indonesia yang layak secara merit ke Piala Dunia bawah 17 tahun (B-17).

Ia bukan sesuatu yang mudah, bukan juga faktor bernasib baik mahupun magis yang dilakukan dalam tempoh singkat untuk skuad Garuda itu mencipta kejayaan tersebut.

Sebaliknya, ia buah tangan hasil perancangan rapi, pelaburan jangka panjang, dan iltizam tinggi daripada semua peringkat iaitu daripada pengurusan hingga pemain yang berjaya direalisasikan sebaiknya.

Keinginan tinggi dan fokus itu juga seharusnya turut menjadi elemen sama buat skuad negara, namun kita masih tercari-cari formula dan arah tuju untuk bersaing di pentas dunia. Malaysia sebenarnya tidak kekurangan inisiatif.

Sejak 2014, Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) diwujudkan dengan harapan tinggi untuk melahirkan generasi baharu pemain bertaraf dunia.

Namun, selepas lebih sedekad, hasilnya masih kabur dan jauh daripada memuaskan menyumbang kepada kritikan terhadap pembangunan pemain muda negara.

Malah, tidak keterlaluan untuk melabel program pembangunan itu gagal selepas masih belum ada kejayaan diraih dalam sebarang pertandingan besar walaupun sasaran demi sasaran diletakkan setiap kali aksi kelayakan berlangsung.

Apa yang silap? Adakah struktur yang longgar? Pemantauan tidak menyeluruh? Atau wujudnya sikap berpuas hati dalam kalangan pengurusan?

Pelaburan dana yang tinggi untuk program pembangunan bola sepak negara ketika ini boleh dianggap satu pembaziran ketika Indonesia sudah jauh berlari di hadapan dengan perancangan program mereka yang lebih tersusun.

Walaupun skuad senior mereka menggunakan pendekatan segera dengan lambakan pemain warisan, namun pengurusan bola sepak mereka tidak pinggirkan bakat muda.

Artikel Berkaitan:

Antaranya kewujudan liga Elite Pro Academy (EPA) di negara tersebut yang memberikan banyak minit permainan di peringkat akar umbi sekali gus menyediakan pemain yang lebih berdaya saing.

Seramai 22 daripada 25 pemain yang menjadi tulang belakang Indonesia mara ke Piala Dunia itu juga beraksi dalam liga EPA yang sekali gus menunjukkan betapa pentingnya liga kompetitif untuk pemain muda.

Rombakan program akar umbi

Rombakan program pembangunan akar umbi perlu dilakukan secara menyeluruh bukan sahaja di NFDP tetapi juga liga-liga bawah umur yang sememangnya perlu diberikan perhatian serius terutama oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

NFDP dan AMD perlu dinilai kembali setelah terlalu lama kita hidup dalam ilusi bahawa program ini sedang menghasilkan pemain berbakat, namun, hakikatnya prestasi di peringkat antarabangsa tidak mencerminkan sebarang kemajuan besar.

Penilaian kembali ini bukan sekadar menilai angka bajet yang telah dibelanjakan, tetapi harus merangkumi aspek struktur latihan, kualiti jurulatih, hala tuju falsafah permainan serta laluan kerjaya pemain muda selepas tamat program tersebut.

Selain itu, liga kompetitif juga perlu kembali dianjurkan kerana ketika ini kejohanan rasmi di bawah FAM hanya ada Piala Belia untuk pemain berusia bawah 18 tahun dan Piala Presiden untuk pemain berusia bawah 21 tahun.

Tiada kejohanan khusus terutama untuk pemain kanak-kanak pada usia 8 tahun (B-8) sehingga usia 16 tahun menyukarkan lagi hasrat untuk melahirkan pemain yang berkualiti.

Malah, tumpuan liga juga perlu meliputi semua peringkat sama ada di negeri, sekolah, kelab tempatan dan komuniti yang perlu dilibatkan secara aktif.

Tidak cukup jika hanya tertumpu kepada pemain elit terpilih sebaliknya sistem liga perlu terbuka luas supaya bakat walaupun di pelosok ceruk mana sekali pun boleh muncul.

Mentaliti profesional juga perlu dibentuk lebih awal. Ramai pemain muda Malaysia berbakat, tetapi hilang arah kerana kekurangan mentaliti profesional.

Aspek disiplin, etika kerja, pemikiran jangka panjang dan daya tahan mental harus diterapkan seawal mungkin.

Hakikatnya, bola sepak Malaysia tidak kekurangan bakat muda, namun mereka kekurangan sistem yang menyokong dari dasar liga, falsafah permainan, sehingga kepada keberanian jurulatih dan kelab memberi peluang kepada mereka.

Elemen-elemen ini perlu digarap dan dipastikan berjaya dalam usaha menyediakan pemain yang mampu menyinar di pentas antarabangsa.

*Muhammad Zakwan Nazaraly ialah wartawan Sukan Sinar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!