Zahid berdepan isu hina mahkamah

Ahmad Zahid (dua dari kiri) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang tadi setelah mahkamah mengarahkannya untuk hadir semula perbicaraan.
Ahmad Zahid (dua dari kiri) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang tadi setelah mahkamah mengarahkannya untuk hadir semula perbicaraan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berdepan isu menghina mahkamah kerana didakwa berbohong kepada Mahkamah Tinggi di sini semalam bahawa beliau perlu menghadiri mesyuarat dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tengah hari semalam.

Pagi semalam, peguam Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Keit memohon supaya prosiding kes rasuah Presiden UMNO itu ditangguhkan sehingga hari ini kerana anak guamnya dijadualkan berjumpa Muhyiddin berhubung pelantikan Kabinet.

Ahmad Zahid mendakwa beliau menerima surat daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menjemputnya untuk membincangkan barisan Kabinet baharu.

“Saya terima surat meminta saya hadir jam 12.30 tengah hari,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes rasuah Zahid ditangguh, beri ruang bincang barisan Kabinet

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Hisyam dan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran.

Bagaimanapun, beberapa jam selepas itu, mahkamah mengarahkan kes itu disambung semula ekoran kenyataan dikeluarkan JPM.

Dalam kenyataan tersebut, JPM menafikan Muhyiddin dijadualkan untuk mengadakan pertemuan dengan mana-mana pemimpin politik.

Artikel Berkaitan:

Collin Lawrence kemudian mengarahkan Ahmad Zahid untuk mengemukakan bukti hari ini atau berdepan tindakan menghina mahkamah.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada mesyuarat, perjumpaan PM dengan pemimpin politik

Pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018 serta 20 Februari 2019, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap 47 pertuduhan, di mana 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid, 66, didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi lapan tuduhan rasuah, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat, iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membantu syarikat-syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Presiden UMNO itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Ahmad Zahid juga berdepan 40 pertuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN), menjadikan tuduhan yang dihadapinya sebanyak 87 pertuduhan.

Ahmad Zahid kemudiannya didakwa pada 27 Jun 2019 dengan 33 lagi pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM42.76 juta daripada sebuah syarikat berhubung sistem sama di Mahkamah Sesyen Shah Alam.