KPDN tumpas aktiviti penyelewengan LPG bersubsidi

Pegawai KPDN memeriksa tong gas LPG yang dirampas.
Pegawai KPDN memeriksa tong gas LPG yang dirampas.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Pulau Pinang berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan bersubsidi membabitkan gas petroleum cecair (LPG) dalam satu serbuan di sebuah premis sekitar Bukit Mertajam, pada Jumaat.

Serbuan kira-kira jam 3 petang itu dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN hasil maklumat orang awam berhubung urus niaga barang kawalan tanpa kebenaran.

Pengarah KPDN Pulau Pinang, RS Jegan berkata, pemeriksaan awal mendapati premis terbabit beroperasi tanpa lesen atau permit sah yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan bagi pengedaran LPG.

“Pemeriksaan menemui 126 tong gas LPG bersaiz 14 kilogram (kg) dan 12kg yang terdiri daripada tong kosong serta berisi, dengan anggaran berat keseluruhan 444kg.

"Semua tong gas LPG terbabit dan beberapa dokumen berkaitan telah disita untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan di premis tidak berlesen," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pemeriksaan mendapati premis terbabit beroperasi tanpa lesen atau permit sah yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan bagi pengedaran LPG.
Pemeriksaan mendapati premis terbabit beroperasi tanpa lesen atau permit sah yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan bagi pengedaran LPG.

Jegan berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM10,923.60.

Beliau turut mengingatkan mana-mana individu dan syarikat supaya mematuhi undang-undang sedia ada berkaitan pengurusan barang kawalan.

“Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan seterusnya.

Artikel Berkaitan:

“Bagi syarikat, denda maksimum ialah RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan berikutnya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!