Sekat akses bahan pornografi

Gambar hiasan 123RF. Gambar kecil dari kiri: Khairulnizam, Amirah
Gambar hiasan 123RF. Gambar kecil dari kiri: Khairulnizam, Amirah
A
A
A

SHAH ALAM - Mekanisme menyekat kanak-kanak bawah umur daripada mengakses platform media sosial dan laman web yang mengandungi unsur pornografi perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu melibatkan dasar, pendidikan serta penguatkuasaan undang-undang.

Pensyarah Kanan Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Matematik Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Profesor Madya Dr Muhamad Khairulnizam Zaini berkata, isu ini perlu dilihat dalam konteks semasa dan tidak boleh dipandang remeh, terutamanya membabitkan dunia digital yang semakin terbuka pada zaman ini.

Beliau berkata, antara mekanisme sedia ada yang boleh digunakan ialah penapisan kandungan oleh penyedia perkhidmatan media sosial dan laman web.

“Mekanisme penapisan kandungan ini boleh digunakan untuk menyekat akses ke laman sesawang atau kandungan yang tidak sesuai untuk kanak-kanak.

“Pada masa sama, penyedia perkhidmatan juga digesa mengaplikasi teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) dan sistem pengesanan untuk mengenal pasti kandungan eksploitasi kanak-kanak. Ini antara mekanisme yang sedia ada dan sedang berjalan ketika ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Muhamad Khairulnizam, kerjasama dengan pemilik platform media sosial juga penting dalam membendung pemberian akses mudah kepada bahan pornografi, sejajar dengan peruntukan di bawah Akta Pelesenan Media Sosial.

“Pemilik platform media sosial perlu bersama-sama kerajaan mengenal pasti dan menurunkan kandungan tidak bermoral serta mengambil tindakan terhadap akaun atau saluran menyebarkannya,” katanya.

Muhamad Khairulnizam menegaskan internet hanyalah alat dan bukan punca kuasa tunggal kepada permasalahan tersebut.

Justeru, beliau menekankan kepentingan pendidikan digital dalam kalangan ibu bapa, manakala budaya celik digital dalam kalangan masyarakat juga perlu diperluaskan.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi pakar keselamatan siber merangkap Timbalan Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Dr Amirah Ismail berkata, terdapat beberapa langkah praktikal yang diambil sebagai mekanisme untuk melumpuhkan akses kepada tapak laman web yang tidak sesuai, pornografi atau platform media sosial tidak bertapis.

“Antaranya pemasangan perisian kawalan ibu bapa seperti Qustodio, Net Nanny atau Norton Family.

"Perisian ini membolehkan ibu bapa menyekat jenis kandungan tertentu atau keseluruhan tapak sesawang, memantau penggunaan dan menetapkan sekatan berdasarkan pilihan mereka,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!