Buat parodi 'tak takut isteri', ketua kampung mohon maaf secara terbuka

JEMBER – Ketua Desa Sidomukti, Sunardi Hadi pada Jumaat tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada masyarakat selepas video parodi melibatkan dirinya dan beberapa pegawai desa tular di media sosial baru-baru ini.
Video yang berdurasi pendek itu memperlihatkan Sunardi dan beberapa stafnya memberi ucapan lucu bertema 'tidak takut isteri' sempena Hari Raya Aidilfitri.
Rakaman tersebut dikatakan bertujuan sekadar hiburan, namun telah mengundang pelbagai reaksi daripada netizen setelah dimuat naik dan tular di platform digital.
“Saya mewakili seluruh jajaran Pemerintah Desa Sidomukti ingin menyampaikan permohonan maaf kepada seluruh masyarakat yang mungkin merasa kurang berkenaan atas video parodi yang kami buat.
"Video itu sekadar hiburan sempena lebaran, tanpa niat menyinggung sesiapa,” katanya dalam video penjelasan yang turut dimuat naik ke media sosial rasmi desa.
Menurut beliau, pihaknya tidak menyangka rakaman tersebut akan menimbulkan salah faham hingga menjadi tular.
“Kami tetap menghormati dan menjunjung tinggi peranan isteri, wanita serta institusi keluarga,” tambahnya lagi.
Susulan daripada kejadian tersebut, netizen terbahagi kepada dua kumpulan iaitu ada yang menganggap ia sekadar gurauan ringan, namun tidak kurang juga yang menyifatkan kandungannya tidak sesuai disebarkan secara umum kerana boleh menyinggung perasaan kaum wanita.
Dalam pada itu, ramai turut memuji sikap Sunardi yang tampil bertanggungjawab menjelaskan perkara sebenar serta memohon maaf secara terbuka bagi meredakan keadaan.
Kejadian ini sekali lagi menjadi peringatan kepada semua pihak mengenai kepentingan berhati-hati dalam berkongsi kandungan di media sosial agar tidak menimbulkan kekeliruan atau salah faham dalam kalangan masyarakat. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

