Victor mohon maaf insiden Jalur Gemilang terbalik di jersi Zii Jia

Permohonan maaf dibuat Victor di IG Stories pada Rabu.
Permohonan maaf dibuat Victor di IG Stories pada Rabu.
A
A
A

SYARIKAT peralatan sukan dari Taiwan, Victor yang menjadi penaja penuh jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tampil memohon maaf atas kesilapan yang dipamerkan pada jersi atlet itu semasa Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 pada Rabu.

Victor menerusi satu kenyataan mengakui kesilapan dan kesal dengan insiden berkenaan sambil menjelaskan ia tidak menggambarkan rasa hormat yang mendalam terhadap Malaysia, simbol kebangsaan atau kebanggaan dan kehormatan mewakili negara di pentas antarabangsa.

"Kami memohon maaf kepada semua peminat badminton Malaysia dan Zii Jia atas kesilapan yang dipamerkan pada jersi Zii Jia.

"Bendera Malaysia melambangkan perpaduan dan identiti. Justeru, kami amat kesal dengan sebarang tindakan tidak disengajakan yang disebabkan oleh kesilapan ini," katanya menerusi hantaran di Instagram (IG) Stories.

Victor menjelaskan, pihaknya sedang meneliti secara menyeluruh bagi memastikan kejadian sama tidak berulang lagi.

Zii Jia terdahulu dilapor mencetuskan kontroversi apabila memakai jersi yang bendera Malaysia berkeadaan terbalik dalam perlawanan pertamanya di kejohanan berkenaan.

Logo Jalur Gemilang yang ditampal secara terbalik di kiri baju dalam perlawanan menentang pemain Taiwan, Chou Tien Chen jelas kelihatan di televisyen dan menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia di media sosial.

Pada perlawanan pertama kumpulan A itu, Zii Jia berjaya menewaskan Tien Chen 21-13, 21-15.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!