Bomba selamatkan warga emas terperangkap banjir di Padang Jawa

SHAH ALAM – Seorang warga emas yang tidak mampu berjalan diselamatkan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor selepas terperangkap dalam banjir separas paha di Jalan Mat Raji, Padang Jawa, pagi Jumaat.
Pengarah JBPM Selangor, Wan Razali Wan Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 9.06 pagi, sebelum sebuah jentera bersama tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba pada jam 9.40 pagi, anggota mendapati seorang mangsa warga emas sedang terperangkap di atas katil dalam rumah yang dinaiki air.
“Anggota kami terus bertindak pantas memindahkan mangsa ke kawasan yang lebih selamat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, pasukan penyelamat turut menjalankan pemantauan rapi di sekitar kawasan bagi mengesan mangsa lain yang mungkin memerlukan bantuan.
Tambahnya, jarak lokasi kejadian adalah kira-kira enam kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, dan operasi dikawal sepenuhnya sekitar jam 10 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
