Tular papan tanda bahasa Mandarin di Port Dickson

PORT DICKSON - Pemasangan papan tanda jalan menggunakan bahasa Mandarin di Kampung Sungai Nipah di sini didakwa tiada permit daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Isu itu tular di aplikasi TikTok sejak Rabu dibangkitkan menerusi akaun Identiti Malaysia yang berpandangan penggunaan dwibahasa itu tidak mencerminkan identiti negara dan mengangkat bahasa Kebangsaan.
Menerusi keterangan gambar, pengadu memberitahu terdapat dua papan tanda di kampung itu, satu menggunakan bahasa Melayu disediakan PBT dan satu lagi berbahasa Mandarin dipercayai dipasang oleh persatuan komuniti Cina di sana.
Pemilik akaun itu menggesa tindakan diambil oleh Majlis Perbandaran Port Dickson (MPDD) jika pemasangan itu dibuat tanpa permit.
"Dalam Perlembagaan Persekutuan yang absahkan kewujudan negara ini, tak ada istilah Cina, India, Rohingya. Ini bukan identiti negara kita.
"Sebarang usaha menyaingi bahasa negara kita, apatah lagi tanpa permit hendaklah diambil tindakan oleh MPDD," menurut hantaran di media sosial itu.
Sementara itu, Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata, semakan mendapati pemasangan papan tanda kedua itu dibuat sejak 2017.
"Papan tanda asal yang dipasang oleh PBT masih dikekalkan cuma ditambah satu lagi papan tanda menggunakan bahasa Mandarin atas inisiatif jawatankuasa kampung itu.
"Papan tanda itu sudah dipasang sejak 2017 dan tidak pasti kenapa baharu sekarang mahu dijadikan isu," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Katanya tiada tindakan diambil susulan papan tanda asal masih dikekalkan namun akan membuat semakan berhubung isu permit pemasangan.
Ujarnya, kebiasaannya pemasangan itu perlu mendapatkan kebenaran PBT terlebih dahulu terutama papan tanda tambahan menggunakan bahasa lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!