LPP pantau kesan tarif kepada pekebun kecil sawit

Mahfuz (dua dari kanan) beramah mesra dengan tetamu yang hadir memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Alor Setar.
Mahfuz (dua dari kanan) beramah mesra dengan tetamu yang hadir memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Alor Setar.
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) memantau rapi eksport minyak sawit ke Amerika Syarikat (AS) berikutan penggantungan sementara tarif baharu ke atas beberapa negara termasuk Malaysia.

Pengerusi LPP, Datuk Mahfuz Omar berkata, langkah itu memberi peluang kepada negara-negara terlibat termasuk Malaysia menilai semula dan membuka rundingan dengan pihak berkuasa AS.

Menurutnya, walaupun eksport pertanian negara ke AS adalah terhad, namun minyak sawit masih berisiko untuk disemak semula pada masa hadapan kerana boleh memberi kesan kepada pekebun kecil bawah LPP.

“Penangguhan 90 hari oleh pentadbiran Presiden AS, Donald Trump itu merupakan langkah positif kepada negara yang terjejas.

"Di Malaysia, kita tidak bekalkan banyak produk pertanian ke AS, mungkin minyak sawit perlu diberikan perhatian, sebarang tindakan yang diambil masih boleh jejaskan petani kita,” katanya ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) itu di kediamannya di sini pada Khamis.

Mahfuz berkata, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan mengetuai rundingan dengan negara-negara ASEAN yang turut terkesan.

”Kerajaan telah memulakan usaha dalam pelbagai bidang, termasuk bekerjasama dengan negara-negara ASEAN lain untuk membentuk kerjasama dalam berurusan dengan AS.

"Hampir semua negara ASEAN terjejas oleh pelan tarif AS itu, walaupun pada kadar berbeza-beza. Penglibatan bersama telah dimulakan untuk cari titik persamaan,” ujarnya.

Beliau menambah, perbincangan awal dijangka diadakan antara Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bersama duta AS dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

Mahfuz percaya penangguhan tersebut juga dibuat berdasarkan jangkaan AS bahawa tarif yang dikenakan oleh mereka turut akan menjejaskan industri di negara tersebut yang bergantung kepada komponen dari luar negara khususnya semikonduktor.

"Saya percaya AS membuat keputusan itu dengan kesedaran bahawa mereka sendiri akhirnya akan terjejas. Tarif bukan sahaja akan beri kesan kepada negara pengeksport tetapi juga mengganggu industri AS yang bergantung kepada komponen yang diimport," jelasnya.

“AS bergantung kepada semikonduktor dan input industri lain yang dihasilkan di luar negara. Ini boleh beri masalah dalam industri mereka malah akan bebankan rakyat mereka dengan kenaikan kos. Mungkin daripada dilihat seolah-olah mereka berundur, AS memilih tangguhkan 90 hari untuk buka jalan kepada rundingan," tambahnya.

Mahfuz berharap penggantungan tersebut akan membawa kepada pengurangan tarif, memandangkan pemindahan industri secara tiba-tiba ke AS adalah tidak realistik bagi negara seperti Malaysia.

“LPP bergantung kepada panduan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, namun kebimbangan yang lebih besar adalah dari segi impak kepada sektor berasaskan teknologi, terutamanya barangan elektrik dan elektronik,” katanya.

Pada Rabu, Trump mengumumkan penangguhan 90 hari ke atas tarif timbal balik terhadap lebih 75 negara rakan dagang, dan menyifatkan langkah itu sebagai hasil rundingan diplomatik dan semangat muhibah.

Bagaimanapun, penangguhan itu tidak terpakai terhadap China, malah Trump meningkatkan tarif timbal balik ke atas negara terbabit kepada 125 peratus serta-merta, berbanding 84 peratus sebelum ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!