Kebakaran Putra Heights: JTKSM terima tiga aduan mangsa diarah ambil cuti tanpa gaji

SUBANG JAYA - Tiga mangsa yang terjejas dalam insiden kebakaran paip gas di Putra Heights baru-baru ini diarahkan untuk mengambil cuti tanpa gaji oleh majikan mereka.
Penolong Pengarah Tenaga Kerja Kanan, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) Selangor, Mohammad Rifaee Mohammad Salleh berkata, aduan itu diterima berikutan pekerja berkenaan telah kehabisan cuti tahunan.
“Kami mengenal pasti 54 pekerja daripada 51 majikan yang terkesan akibat insiden ini, dan daripada jumlah tersebut, hanya tiga pekerja diberikan cuti bencana, manakala 23 lagi diberi cuti ihsan.
"Selain itu, kami turut menerima tiga aduan melibatkan cuti tanpa gaji, dua cuti sakit dan 15 cuti dengan izin,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights di sini pada Khamis.
Mohammad Rifaee menambah, pihak JTKSM memberi khidmat nasihat kepada pekerja yang terlibat bagi membantu mereka berunding dengan majikan masing-masing, termasuk mencari penyelesaian dengan penjadualan kerja yang lebih fleksibel.
"Ada kes yang kami sendiri telah menghubungi majikan terlibat bagi membantu menyelesaikan isu pekerja," ujarnya.

Dalam pada itu, salah seorang mangsa kebakaran, Mohd Hanif Mohd Ghazali memaklumkan, dia diberikan cuti bergaji sehingga Isnin depan hasil perbincangan antara majikan dan JTKSM.
Menurut Mohd Hanif, dia mengalami kerugian kira-kira RM200,000 selepas rumah yang disewa musnah sepenuhnya dalam kejadian tersebut.
"Empat motosikal dan sebuah kereta rosak teruk, selain barangan rumah turut musnah. Semuanya habis. Saya masih trauma dengan apa yang berlaku,” katanya.
Tambah Mohd Hanif, dia sudah mendapatkan rumah sewa baharu di Bukit Lanchong, di sini iaitu kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.
Bagaimanapun katanya, bantuan RM10,000 yang akan diberikan kepada mangsa masih belum diterima sehingga kini.
"Saya dimaklumkan bahawa nama saya tercicir daripada senarai penerima tetapi saya difahamkan unit penyelarasan sedang berusaha mendapatkan bantuan ini," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
