Rakyat Indonesia beralih kepada emas

JAKARTA - Ratusan rakyat Indonesia dilaporkan berpusu-pusu membeli emas sebagai langkah untuk melindungi nilai aset mereka berikutan kemerosotan nilai mata wang rupiah dan kejatuhan pasaran saham negara itu.
Fenomena ini berlaku ketika Indonesia berdepan tekanan ekonomi akibat dasar tarif import baharu yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang memberi kesan besar kepada banyak ekonomi dunia termasuk Indonesia.
Meskipun pemerintah Indonesia dan pakar ekonomi menyatakan kesan tarif ini terhadap Indonesia mungkin terhad kerana negara itu bergantung kepada pasaran domestik, namun kebimbangan terhadap eksport ke AS dalam sektor elektronik, kasut dan pakaian telah menggugat keyakinan pelabur.
Di Jakarta, kedai emas popular Galeri24 melaporkan lonjakan jualan emas hingga tiga kali ganda sejak kedai mereka dibuka semula selepas cuti Aidilfitri. Menurut Pengarah Galeri24, Endah Susiani, mereka kini mampu menjual lebih 65 kilogram emas setiap hari berbanding kebiasaan.
“Kami menerima hampir 200 pelanggan sehari di cawangan Jakarta sahaja, kebanyakannya membeli emas kecil seberat 10 gram,” kata Endah kepada Reuters pada Rabu.
Suhud Syahrani, 35, seorang pekerja sektor teknologi maklumat, merupakan salah seorang pembeli emas. Beliau memilih untuk melabur dalam emas selepas membuat kajian mengenai pilihan pelaburan jangka panjang.
“Saya mahu membeli rumah suatu hari nanti. Nasib baik saya tidak letakkan wang dalam saham atau dana amanah. Pasaran saham runtuh. Ekonomi kita semakin lemah,” katanya
Mata wang rupiah mencatatkan rekod terendah, mencecah 16,970 rupiah (AS$1.36 ) bagi setiap dolar Amerika manakala Indeks Harga Saham Gabungan (IHSG) Indonesia merosot lebih 7 peratus dalam satu hari. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

