Dakwaan rasuah ADUN Sabah: 10 video dikemukakan sedang dianalisis - SPRM

KOTA KINABALU - Sepuluh video yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah sedang dianalisis.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, penelitian yang rapi perlu dilakukan sebagimana lapan video yang disiarkan oleh Malaysiakini sebelum ini.
"Bila dikemukakan video yang baharu ini, ia dalam kajian dan analisis bahagian forensik SPRM dan laporannya belum dikeluarkan lagi.
"Seperti saya maklumkan sebelum ini, bahagian forensik SPRM telah mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Standard Malaysia (JSM) dan sebarang analisis yang dibuat adalah berkredibiliti dalam menilai video tersebut sama ada boleh dijadikan bukti dalam siasatan atau sebaliknya.
"Ini memandangkan dalam lapan video yang dianalisis sebelum ini menunjukkan terdapat banyak unsur suntingan dan sebagainya dan menyebabkan ia tidak mempunyai kredibiliti untuk dijadikan bahan bukti dalam siasatan," katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Cakna Rasuah SPRM Bersama Media Sabah di sini pada Khamis.
Azam berkata, walaupun beliau telah mengarahkan agar laporan analisis dikeluarkan segera, namun proses itu memerlukan masa kerana melibatkan 10 video yang panjang durasinya.
"Setiap satu video itu perlu dianalisis bagi memastikan sama ada terdapat sebarang suntingan atau perubahan. Mereka perlu meneliti sama ada berlaku gangguan pada bingkai video dan sebagainya.
"Ini termasuk sebarang manipulasi, penyuntingan berlebihan atau imej yang ditindih. Audio yang terlibat, sama ada telah diubah suai atau dijadikan lebih jelas dan sebagainya, turut perlu diteliti.
"Buat masa ini, analisis sedang dijalankan ke atas 10 video tersebut dan sekiranya terdapat hasil daripada penelitian itu, kita akan maklumkan kemudian, bergantung kepada keperluan," jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa siasatan terhadap lapan ADUN terbabit dan seorang individu dikenali sebagai Albert Tei tetap diteruskan walaupun kesahihan video tersebut masih belum disahkan.
"Saya telah mengarahkan pegawai saya memanggil semua kembali termasuk Albert Tei dan beliau juga akan dipanggil semula untuk menyerahkan beberapa dokumen lagi yang kita perlukan bagi menyiasat dakwaannya sebelum ini.
"Kita juga memanggil lapan ADUN ini untuk memberi penjelasan walaupun belum ada lagi pengesahan daripada bahagian forensik.
"Terus terang saya menyatakan, video tersebut akan dimainkan semula di hadapan lapan ADUN berkenaan untuk mereka memberikan penjelasan mengenai apa yang sebenarnya berlaku," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak agar tidak membuat sebarang kesimpulan awal berkaitan kes tersebut kerana video baharu yang dikemukakan masih dalam peringkat penelitian.
"Saya menyambut banyak saranan daripada peguam-peguam yang mahukan kita siasat perkara ini, dan kita siasatlah.
"Kita nak sahkan kandungannya, apa yang berlaku dalam itu, adakah wang yang diberi itu merupakan wang rasuah atau tidak, itu subjeknya.
"Mungkin berlaku transaksi, mungkin tidak berlaku, terpulang kepada pegawai penyiasat saya. Tapi kita nak tahu adakah ini wang rasuah atau tidak, adakah merupakan wang sumbangan atau tidak. Ini semua persoalan yang perlu diperjelaskan dalam kenyataan kepada SPRM," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
