#UsahanitaDigital perkasa usahawan wanita muda teraju ekonomi digital

Anfaal (duduk, tengah) menyempurnakan majlis pelancaran di sebuah hotel di Shah Alam pada Khamis.
Anfaal (duduk, tengah) menyempurnakan majlis pelancaran di sebuah hotel di Shah Alam pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor melancarkan Program #UsahanitaDigital, satu inisiatif strategik dengan memperkasakan wanita muda sebagai peneraju ekonomi digital pada masa depan.

Program ini digerakkan oleh Wanita Berdaya Selangor (WBS) di bawah Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita dan Keluarga negeri.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Anfaal Saari berkata, program ini bukan sekadar platform latihan digital, sebaliknya menjadi ruang pemerkasaan menyeluruh bagi wanita muda untuk menceburi dunia keusahawanan digital secara lebih serius dan berdaya saing.

“Kita mahu wanita muda di Selangor bersedia menghadapi cabaran era digital. Program ini menyediakan peluang latihan, bimbingan pakar industri, serta akses kepada jaringan pasaran dan sokongan strategik.

"Seramai 203 usahawan wanita muda terpilih daripada 226 permohonan selepas melalui proses saringan ketat.

"Mereka bakal menjalani latihan intensif selama tiga bulan bermula April hingga Jun 2025, melibatkan bengkel kemahiran, sesi bimbingan serta latihan amali dalam bidang pemasaran digital dan e-dagang," ujarnya pada majlis pelancaran yang berlangsung di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Anfaal (tengah) turut menyaksikan pemeteraian MoU antara WBS dan beberapa rakan strategik utama.
Anfaal (tengah) turut menyaksikan pemeteraian MoU antara WBS dan beberapa rakan strategik utama.

Pelancaran turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara WBS dan beberapa rakan strategik utama, termasuk Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI), Yayasan Hijrah Selangor, Yayasan Peneraju, dan Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (SIDEC).

"Kerjasama ini dijangka memperkukuh ekosistem digital wanita dan membuka lebih banyak peluang jaringan perniagaan di negeri ini," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, selain latihan, peserta juga berpeluang menerima geran padanan, pengiktirafan khas, serta peluang menyertai lawatan industri termasuk ke luar negara.

"Peserta terbaik bakal dinobatkan sebagai Ikon Usahanita Digital, menerima wang tunai dan anugerah khas," ujarnya lagi.

Program #UsahanitaDigital menjadi bukti kesungguhan Kerajaan Selangor untuk melonjakkan potensi wanita muda sebagai agen perubahan dan pemacu utama dalam landskap ekonomi digital yang kian berkembang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!