Pahang ikrar beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat, pelabur

KUANTAN - Pahang melakukan beberapa pendekatan baharu untuk memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada rakyat dan pelabur di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, antara pendekatan diambil bagi mengurangkan kerenah birokrasi iaitu dengan menurunkan kebenaran atau ‘consent’ pertukaran hak milik tanah kepada Pegawai Daerah.

Menurutnya, turut dilakukan penubuhan dan penyusunan semula beberapa agensi seperti Perbadanan Pasir Pahang, Pahang Mining Corporation dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang.
"Tindakan ini agar urusan berkaitan hasil bumi dan tanah dapat diperkemas dan seterusnya membantu peningkatan hasil kepada kerajaan negeri," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan seluruh jentera pentadbiran kerajaan negeri terus memperkemas dan memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Titah baginda lagi, kerajaan negeri perlu bergerak ke hadapan dengan sistem pentadbiran yang lebih efisien, tersusun dan responsif bukan semata-mata memenuhi prosedur tetapi juga menjawab keperluan sebenar rakyat.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Suratcara Pengisytiharan Pelantikan dan Ikrar Taat Setia Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Nazri Abu Bakar dan Pegawai Kewangan Pahang, Datuk Fazdilla Salleh di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz di sini.
Selari dengan titah dan pesanan baginda, Wan Rosdy berkata, juga memberitahu setiap hasil yang diperoleh akan dikembalikan semula kepada rakyat dan negeri melalui pelbagai inisiatif seperti Program Inisiatif Makmur Pahang serta projek pembangunan yang lain.
"Patik berikrar, jentera Kerajaan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku akan terus memberi perkhidmatan terbaik buat rakyat dan pelabur di negeri Pahang.
"Bagi pihak kerajaan Pahang, patik menjunjung kasih atas perkenan menerima pelantikan Datuk Nazri selaku Setiausaha Kerajaan Pahang yang baharu," jelasnya.
Katanya, selaras dengan pelantikan tersebut, terdapat beberapa perubahan dalam pentadbiran Kerajaan Pahang di mana jawatan yang disandang Datuk Nazri sebelum ini diisi Datuk Fadzilla sebagai Pegawai Kewangan Pahang.
Tambahnya, Datuk Hamadan @ Hamdan Hussin sebagai Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Pahang dan Datuk Razihan Adzharuddin sebagai Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang.
"Patik percaya, pelantikan Datuk Indera Nazri Abu Bakar, anak kelahiran Pekan ini, diikuti beberapa perubahan perjawatan lain dalam pentadbiran akan meneruskan tradisi kecemerlangan Kerajaan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku sejak dahulu, kini dan pada masa akan datang," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

