Kenaikan elaun: Sinar baharu untuk sukarelawan APM

Laporan Sinar Harian berkaitan cadangan elaun APM dinaikkan. (Gambar kecil: Mila Hirmah. Muhammad Zameer)
Laporan Sinar Harian berkaitan cadangan elaun APM dinaikkan. (Gambar kecil: Mila Hirmah. Muhammad Zameer)
A
A
A

SHAH ALAM – Cadangan menaikkan kadar elaun harian daripada RM40 kepada RM80 dijangka memberi sinar baharu kepada lebih 10,000 sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di seluruh negara bagi menampung kos sara hidup semasa.

Menurut anggota APM, Leftenan (PA) Mila Hirmah Tahiruddin, 32, cadangan itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan anggota yang sentiasa komited memberikan khidmat bakti kepada negara.

“Ada juga anggota berkhidmat sepenuh masa sebagai sukarelawan APM. Justeru, kenaikan elaun ini dapat memberi sinar baharu kepada mereka memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Selain itu, cadangan ini dilihat mampu menarik minat lebih ramai golongan muda menyertai APM,” katanya yang telah berkhidmat selama lapan tahun dalam pasukan.

Terdahulu, media sebelum ini melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan kadar elaun harian sukarelawan APM perlu dinaikkan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kadar tersebut wajar diselaraskan dengan pasukan sukarelawan lain bagi mengiktiraf peranan penting yang dimainkan APM dalam masyarakat.

Senada dengan itu, Staf Kanan (PA) Muhammad Zameer Faiz Kamaruzaman, 35, berpandangan kenaikan elaun ini merupakan satu insentif yang penting dalam meningkatkan semangat seluruh anggota APM.

“Sebagai contoh, dalam operasi menyelamat mangsa banjir, kami perlu menggadai nyawa demi memastikan keselamatan mangsa terjamin.

“Tugas-tugas seperti ini menuntut komitmen yang tinggi dan pengorbanan besar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, cadangan kenaikan elaun ini sangat disokong dan berharap dapat direalisasikan dalam masa terdekat.

“Ini bukan sahaja akan meningkatkan motivasi tetapi menjadi penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan anggota APM di seluruh negara,” katanya.

Seorang lagi anggota APM, Zulfakhri Zulkarnain, 31, berkata, usaha tersebut selaras dengan penugasan APM.

“Inisiatif ini dapat membantu meringankan beban sara hidup yang semakin meningkat serta meningkatkan motivasi dalam menunaikan tanggungjawab kerja yang kian mencabar,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!