UMNO Kedah desak kerajaan negeri nyata pendirian penganjuran Pesta Songkran

ALOR SETAR – UMNO Kedah mendesak kerajaan negeri segera menyatakan pendirian rasmi berhubung penganjuran Pesta Songkran di negeri ini, susulan kenyataan tegas Pas Pulau Pinang yang menolak pesta tersebut atas alasan bertentangan nilai dan ajaran Islam.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, berkata tindakan Pas Pulau Pinang menimbulkan persoalan besar mengenai konsistensi pendirian blok kerajaan yang turut merangkumi Pas di Kedah.
“Adakah kerajaan negeri berkongsi pendirian sama seperti Pas Pulau Pinang atau memilih untuk berdiam diri dalam isu melibatkan sensitiviti agama dan kepelbagaian kaum ini?” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
UMNO Kedah turut menggesa Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tampil dengan kenyataan rasmi bagi membuktikan kerajaan negeri pimpinan beliau benar-benar berjiwa besar, progresif dan komited melindungi hak serta budaya semua rakyat tanpa mengira agama dan kaum.
“Malangnya hingga kini, pentadbiran Muhammad Sanusi dilihat gagal menunjukkan ketegasan dalam pelbagai isu dasar termasuk aspek sosio-ekonomi, pembangunan negeri dan perpaduan antara kaum.
“Pendirian beliau sering kali kabur, berubah-ubah dan penuh dengan alasan mengelirukan rakyat,” tambahnya.
UMNO Kedah percaya rakyat berhak mengetahui sama ada kerajaan negeri hari ini berdiri teguh bersama prinsip kepelbagaian dan keterangkuman atau tunduk kepada tekanan sempit yang memecah-belahkan rakyat.
“Adakah kerajaan negeri bersetuju atau menolak penganjuran Pesta Songkran sebagaimana ditegaskan Pas Pulau Pinang.
"Kejelasan ini penting demi kesejahteraan bersama dan memastikan semua kaum di Kedah merasa dihormati serta dilindungi di bawah pemerintahan yang adil dan bertanggungjawab,” tegasnya.
UMNO Kedah menekankan kerajaan negeri perlu menunjukkan komitmen terhadap perlindungan hak dan budaya semua rakyat, tanpa mengira latar belakang agama dan kaum.
“Kerajaan yang adil dan bertanggungjawab adalah kerajaan yang mampu menangani isu-isu sensitif dengan bijaksana, tanpa mengabaikan kepentingan mana-mana pihak,” katanya.
Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan Pas Pulau Pinang membantah penganjuran program Sonic Splash Songkran Music Beach anjuran Ferringi Heart Beach Club Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada hujung minggu ini.
Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, program itu jelas mempromosikan acara yang mencolok mata dan merendahkan martabat nilai insani yang dimuliakan oleh Tuhan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

