Perayaan Songkran di Selatan Thailand dijangka jana lebih 1 bilion baht

BANGKOK - Kerajaan Thailand menjangkakan perbelanjaan pelancong semasa perayaan Songkran, atau Tahun Baharu Thailand, akan melebihi 1 bilion baht, khususnya di Songkhla, sebuah wilayah di selatan negara itu.
Timbalan jurucakap Pejabat Perdana Menteri Thailand, Anukul Pruksanusak, berkata, Songkran merupakan antara festival yang menarik minat ramai pelancong dan amat popular dalam kalangan pelancong antarabangsa.
Beliau berkata, sejumlah besar pelancong Malaysia mengunjungi Daerah Hat Yai di Wilayah Songkhla setiap tahun untuk menyertai sambutan Songkran.
"Data terkini menunjukkan tempahan hotel di Wilayah Songkhla terus meningkat, terutama daripada pelancong antarabangsa dari Malaysia, Singapura dan Indonesia.
"Beberapa hotel telah berhenti menerima tempahan. Dengan semakin hampirnya perayaan Songkran, hampir 20,000 bilik hotel dijangka penuh, menjana pendapatan lebih 1 bilion baht,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Songkran secara tradisinya disambut dengan perhimpunan keluarga, memberi penghormatan kepada warga tua dan nenek moyang, serta melaksanakan ritual keagamaan bagi patung Buddha.
Perayaan ini terkenal dengan aktiviti percikan air yang meriah, perarakan yang penuh warna-warni serta pertunjukan kebudayaan yang menarik.
Anukul berkata, acara utama festival di Songkhla ialah 'Hat Yai Midnight Songkran', yang menampilkan aktiviti percikan air pada waktu malam dan amat digemari pelancong.
Beliau menambah bahawa pelbagai acara dan aktiviti tambahan telah dianjurkan bagi menarik lebih ramai pengunjung, dengan kerjasama sektor awam dan swasta dalam mencipta pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk semua yang hadir.
"Berhubung keadaan tidak aman di wilayah sempadan selatan, ia tidak menjejaskan keputusan pelancong untuk melawat Hat Yai.
"Kebanyakan pengunjung ke daerah itu sudah biasa dengan kawasan berkenaan dan menyedari bahawa pergolakan berlaku jauh dari Songkhla serta tidak memberi kesan kepada industri pelancongan,” katanya.
Songkran disambut setiap tahun selama tiga hari mulai 13 April, menandakan permulaan Tahun Baharu Thailand. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
