Kejam! Anjing diseret dari belakang motosikal

THAILAND - Pengguna jalan raya di Thailand dikejutkan dengan tindakan kejam seorang lelaki yang menyeret anjingnya di belakang motosikal sehingga haiwan itu cedera.
Menurut media Khaosod, kejadian menyayat hati tersebut berlaku di Pak Chong pada petang Selasa lalu, apabila seorang pengguna Facebook memuat naik rakaman video insiden berkenaan.
Video tersebut memaparkan haiwan itu terbaring lemah di atas jalan raya dengan dipenuhi calar dan luka sambil dilihat ia menjilat lukanya dalam kesakitan.
Orang awam yang memuat naik video itu mendakwa, lelaki terbabit telah menyeret anjing berkenaan sepanjang jalan.
Beberapa pemandu yang menyedari kejadian itu membunyikan hon berulang kali bagi memberi amaran kepada lelaki tersebut supaya berhenti.
Namun, selepas diberhentikan, lelaki itu dilaporkan langsung tidak menunjukkan rasa bersalah dan sanggup menyerahkan anjingnya kepada orang awam yang menyoal tindakannya mengikat anjing itu di motosikal.

Difahamkan, anjing tersebut mengalami luka lama dan baharu, dipercayai pernah didera sebelum ini.
Bertindak prihatin, orang awam yang menyaksikan kejadian itu segera membawa anjing berkenaan ke klinik veterinar berhampiran untuk menerima rawatan segera bagi merawat lebam dan luka di kaki serta badannya.
Dalam pada itu, orang awam yang menegur lelaki terbabit berkata, dia menjadi marah, agresif dan mencabar orang ramai supaya membuat laporan polis terhadap tindakannya.
Sementara itu, dalam perkembangan terkini, anjing tersebut dilaporkan berada dalam keadaan stabil, namun masih trauma dan hanya berdiam diri sambil menjilat lukanya.
Pada Rabu, kes berkenaan telah dilaporkan kepada Yayasan Watchdog Thailand, yang kemudiannya menyerahkan kes itu kepada pihak polis tempatan untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
