Segera transformasi pelantikan Ketua Hakim Negara

ISU pelantikan Ketua Hakim Negara bukan sekadar urusan pentadbiran dan soal Perlembagaan Persekutuan semata-mata, sebaliknya ia menyentuh asas penting dalam sistem demokrasi, prinsip pengasingan kuasa antara pemerintah, perundangan dan kehakiman.
Ketelusan dalam proses pelantikan Ketua Hakim Negara juga adalah cerminan kepada sejauh mana prinsip pemisahan kuasa, keluhuran undang-undang dan integriti institusi benar-benar dihormati.
Isu berkenaan menjadi semakin 'panas' diperkatakan selepas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, mencadangkan supaya kerajaan meminda Perkara 122B berkaitan peranan Perdana Menteri dalam pelantikan Ketua Hakim Negara dan hakim-hakim.
Tengku Maimun juga mencadangkan agar Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 dan Perlembagaan Persekutuan dipinda supaya pelantikan hakim benar-benar berasaskan merit, bukan pengaruh politik.
Tegas Tengku Maimun, langkah tersebut penting bagi menangkis persepsi bahawa badan kehakiman dipengaruhi oleh pihak eksekutif atau lebih tepat lagi Perdana Menteri.

Menurutnya, walaupun proses pelantikan melibatkan JAC, Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong, struktur sedia ada masih membuka ruang kepada campur tangan politik, terutama dalam pelantikan empat jawatan tertinggi kehakiman.
Kenyataan ini hadir dalam saat akhir tempoh perkhidmatan Tengku Maimun sebagai Ketua Hakim Negara, sekali gus menjadikan gesaan tersebut lebih bermakna dan simbolik terhadap masa depan institusi kehakiman di Malaysia pada masa depan.
Lebih signifikan, Tengku Maimun mengimbas kembali krisis kehakiman yang berlaku pada tahun 1988 yang menyaksikan pemecatan Ketua Hakim Negara ketika itu Tun Salleh Abas serta penggantungan lima hakim Mahkamah Agung.
Krisis tersebut telah mencalar kredibiliti badan kehakiman dan menimbulkan kebimbangan besar terhadap campur tangan politik dalam sistem keadilan negara.
Menurut Tengku Maimun, walaupun perlindungan perlembagaan itu kukuh atas kertas namun ia belum tentu mencukupi untuk mengekang tekanan politik.
Susulan peristiwa itu, institusi kehakiman dilihat seolah-olah kehilangan semangat, kebebasan dan kewibawaan moral untuk membuat keputusan berlandaskan undang-undang.
Bagaimanapun, Tengku Maimun berpandangan badan kehakiman kini telah bangkit semula dan kembali memainkan peranan penting sebagai pelindung kepada Perlembagaan Persekutuan.
Berikutan itu, pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, kerajaan akan meneliti semula Akta JAC 2009 sebagai sebahagian daripada agenda reformasi institusi negara.
Anwar juga mengakui struktur dan peranan JAC telah lama dipersoal oleh pelbagai pihak berkepentingan termasuk Majlis Peguam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pengamal undang-undang.
Beliau memberi jaminan bahawa kajian semula itu akan dilakukan secara menyeluruh dan melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk institusi kehakiman, Majlis Raja-Raja serta masyarakat madani.
Kerajaan katanya, komited memastikan pelantikan kehakiman kekal telus tanpa menjejaskan peranan Yang di-Pertuan Agong dan keistimewaan Raja-Raja Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan.
Namun begitu, persoalan besar masih berlegar, adakah kerajaan benar-benar bersedia melepaskan kuasa eksekutif dalam menentukan pelantikan jawatan tertinggi dalam badan kehakiman Malaysia?
Rakyat hari ini semakin celik dan tidak lagi melihat isu pelantikan sebagai soal teknikal, sebaliknya ia berkait rapat dengan kepercayaan terhadap sistem keadilan negara.
Proses pelantikan Ketua Hakim Negara kali ini akan menjadi ujian besar terhadap janji reformasi institusi dan prinsip pengasingan kuasa yang sering dilaung-laungkan kerajaan.
Lebih penting, rakyat menuntut agar pelantikan ini dilakukan secara telus, adil dan berasaskan integriti serta kelayakan, bukan pengaruh atau kepentingan politik.
Jika kerajaan serius mahu melakukan pembaharuan, ini adalah peluang terbaik untuk menunjukkan komitmen sebenar kepada kebebasan badan kehakiman.
Pelantikan Ketua Hakim Negara tidak harus sekadar memenuhi keperluan prosedur, tetapi perlu menjawab satu persoalan penting – adakah sistem kita benar-benar bebas?
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
