Amanah desak tindakan tegas, dasar menyeluruh

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan insiden buli di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Pulau Pinang baru-baru ini, sebagai kejadian yang menggemparkan masyarakat dan mencemarkan nama baik institusi pendidikan.
Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof berkata, insiden seperti itu bukan kali pertama berlaku dan menuntut tindakan menyeluruh serta berterusan, bukan sekadar reaksi sementara.
Beliau yang juga Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat Amanah berkata, Amanah menyambut baik pendirian tegas Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang tidak berkompromi dengan sebarang bentuk budaya buli.
Pendekatan tegas itu menurut Azli, memberikan mesej jelas bahawa keselamatan dan kebajikan pelajar perlu menjadi keutamaan mutlak.
“Budaya buli, dalam bentuk fizikal, emosi atau psikologi adalah satu bentuk keganasan yang menimbulkan trauma mendalam dan memberi kesan jangka panjang kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sehubungan itu, beliau menggesa siasatan telus dan tindakan tegas oleh Mara, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pihak berkuasa, termasuk terhadap kecuaian pentadbiran jika terbukti serta pendekatan pemulihan terhadap pelaku buli.
Amanah turut menggesa pelaksanaan Dasar Anti-Buli yang berkesan dan menyeluruh di semua institusi pendidikan, terutama sekolah berasrama, termasuk pencegahan, pengesanan awal, saluran aduan mudah dan intervensi berasaskan psikososial.
Selain itu, sistem aduan yang terbuka dan mesra pelajar dengan jaminan kerahsiaan kepada pemberi maklumat (whistleblower) juga perlu diwujudkan agar pelajar tidak takut untuk melaporkan kejadian buli.
“Latihan dan kesedaran kepada guru, warden dan kakitangan juga perlu ditingkatkan. Pelajar mesti dididik tentang empati, rasa hormat dan keberanian lapor salah laku,” ujar beliau.
Amanah turut mencadangkan agar platform aduan mesra pelajar dan ibu bapa diwujudkan di setiap sekolah berasrama penuh, selain melibatkan masyarakat secara aktif dalam membentuk ekosistem pendidikan yang selamat,
“Pembinaan sahsiah pelajar yang seimbang adalah asas pembinaan negara madani dan beretika. Institusi pendidikan wajib memainkan peranan dalam membimbing anak-anak dalam suasana ihsan dan hormat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

