Premis baiki kenderaan berat tanpa lesen di Klang dikompaun

KLANG - Sebuah premis yang menjalankan aktiviti membaiki kenderaan berat di Lorong Sungai Rasah 24A di sini dikenakan tindakan penguatkuasaan selepas didapati beroperasi tanpa lesen yang sah daripada pihak berkuasa tempatan.
Operasi bersepadu yang dijalankan oleh Jabatan Pelesenan dengan kerjasama Jabatan Penguatkuasa, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan pematuhan terhadap undang-undang kecil perniagaan di kawasan pentadbiran majlis.
Menurut MBDK, hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut menjalankan aktiviti membaiki kenderaan berat tanpa sebarang kelulusan lesen yang sah daripada MBDK.

"Sehubungan itu, satu kompaun telah dikeluarkan dan diserahkan kepada pemilik premis terbabit.
"Tindakan kompaun dikenakan di bawah Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Perbandaran Klang) 2007," menurut pihak berkuasa tempatan itu dalam satu hantaran di laman Facebook pada Rabu.
MBDK turut menegaskan bahawa penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua premis perniagaan di daerah ini mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan.
"Pemilik premis turut dinasihatkan agar mendapatkan lesen yang sah sebelum memulakan sebarang operasi perniagaan," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

