Tambah jentera pengorekan, tugas 24 jam percepat proses siasatan - Polis

Hussein (duduk, tengah) dalam sidang akhbar di PKTK Putra Heights, Subang Jaya pada Selasa. Foto SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR
Hussein (duduk, tengah) dalam sidang akhbar di PKTK Putra Heights, Subang Jaya pada Selasa. Foto SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SUBANG JAYA - Dua tindakan baharu telah dilaksanakan sejak Isnin untuk mempercepatkan siasatan serta proses menstabilkan tanah di lokasi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, antara tindakan yang diambil adalah dengan menambah dua jentera untuk melaksanakan kerja pengorekan serta tugas yang dijalankan sepanjang 24 jam.

"Ini melibatkan kekuatan agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Petronas, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP)," katanya dalam sidang akhbar di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Putra Heights pada Selasa.

Beliau menjelaskan, agensi-agensi tersebut berada di lokasi 24 jam untuk memantau dan menyiasat setiap peringkat kerja pengorekan bagi memastikan paip yang terlibat dalam kebakaran dapat didedahkan dengan selamat.

"Tempoh siasatan ini dijangka akan diperoleh lebih cepat daripada jangkaan asal iaitu dua minggu," tambahnya.

Hussein juga menyatakan bahawa keadaan kawasan yang sedang digali masih lembap, dan proses ini bergantung kepada faktor cuaca.

"Setakat ini, kawasan tersebut masih ada sedikit air bertakung dan usaha untuk membuangnya sentiasa berjalan. Petronas dan agensi terlibat telah mengambil langkah-langkah untuk menangani masalah ini," jelasnya.

Menurutnya lagi, kerja-kerja menstabilkan tanah di lokasi kejadian telah mencapai kemajuan sebanyak 30 peratus. Selain itu, proses membawa keluar sebuah excavator (jengkaut) yang tertimbus juga sedang dilakukan dan dijangka akan dikeluarkan dalam beberapa hari lagi.

Sebelum ini, pihak polis mengesahkan bahawa terdapat kerja-kerja ekskavasi tanah sekitar 30 meter dari lokasi kebakaran saluran paip gas. Aktiviti tersebut dikenal pasti sebagai sebahagian daripada projek menggantikan paip kumbahan sedia ada di kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kebakaran yang berlaku pada 1 April lalu melibatkan saluran utama Petronas dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya. Kebakaran tersebut menyebabkan kawah dengan kedalaman 9.8 meter dan keluasan sekitar 21 x 24 meter terbentuk di lokasi kejadian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!