'Sorok kematian sama sekali tidak benar' - Polis

SUBANG JAYA - Tiada laporan kes kematian dan kehilangan harta benda dilaporkan melibatkan insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights di sini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini polis telah menerima 675 laporan selain merekodkan 186 keterangan saksi termasuk pengawal keselamatan di lokasi kejadian.
Menurutnya, tiada laporan kehilangan harta benda serta kematian diterima polis buat masa ini.
"Polis telah menempatkan 120 keanggotaan untuk memantau keselamatan di laluan dan simpang sepanjang 24 jam di lokasi penduduk. Jika ada pihak dakwa barang hilang, saya minta tampil buat laporan untuk tindakan lanjut.
"Mengenai dakwaan sorok kematian juga sama sekali tidak benar. Polis tidak pernah sorok kematian dan tidak ada manfaat untuk perkara itu," katanya dalam sidang akhbar di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Putra Heights di sini pada Selasa.
Jelas Hussein, netizen usah membuat kenyataan sembarangan yang menimbulkan rasa gusar orang ramai.
Katanya, polis bersama agensi berkaitan membuat dokumentasi secara individu dan laporan pemeriksaan serta siasatan.
"Polis sedang siasat dari pelbagai sudut termasuklah faktor mekanikal, alam sekitar, operasi, keselamatan dan pemantauan.
"Faktor mekanikal ini melihat faktor kerosakan akibat aktiviti manusia, faktor alam sekitar melihat faktor pergerakan bawah tanah, faktor operasi misalnya melihat isu penyelenggaraan alatan. Saya tak nampak mana-mana pihak sembunyi sebarang penemuan di kawasan terbabit," ujarnya.
Dalam kejadian kebakaran saluran paip gas sepanjang kira-kira 500 meter pada 1 April itu, sepasukan bomba dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 8.10 pagi.
Kebakaran dan letupan itu mengakibatkan kemusnahan kediaman dan harta benda selain ratusan penghuni di kediaman berhampiran dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
