Pekerja, pengunjung cemas bumbung pasar raya terbakar

KUALA SELANGOR - Suasana di sebuah pasar raya di Bandar Puncak Alam di sini bertukar cemas apabila bumbung premis itu terbakar pada Selasa.
Kejadian kira-kira jam 1 petang itu menyebabkan semua pekerja dan pengunjung bergegas keluar menyelamatkan diri.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 1.14 petang.
"Sepasukan 15 pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dan Bukit Jelutong dikerahkan dalam operasi berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau memaklumkan, pemeriksaan mendapati pasar raya berkeluasan 160 x 160 meter persegi itu terbakar di bahagian dalam bumbung.
Bagaimanapun, katanya, kebakaran itu tidak melibatkan sebarang mangsa dan usaha pemadaman serta siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian masih dijalankan.
Terdahulu, kejadian tersebut tular di media sosial memaparkan gambar dan video insiden kebakaran itu.
Pengunjung dan pekerja pasar raya terbabit bergegas keluar selepas menyedari kepulan asap dalam premis berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

