Lelaki ditemui meninggal dunia atas bumbung pasar

KOTA BHARU – Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di atas bumbung Pasar Siti Hajar, Pasir Puteh dalam kejadian awal pagi Jumaat.
Pegawai Bomba Kanan II, Siti Nor Raihan Mohamed Harami berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 4.59 pagi daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh yang meminta bantuan untuk menurunkan mangsa.
Menurut beliau, seramai enam anggota dan pegawai bomba dikerahkan ke lokasi dengan membawa sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Fire Response Vehicle (FRV).
“Sebaik tiba di lokasi dan menjalankan pemeriksaan, didapati seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an tidak sedarkan diri di atas bumbung pasar.
“Operasi membawa turun mangsa dilaksanakan dalam tempoh kira-kira 15 minit menggunakan tangga, dan keseluruhan operasi tamat dalam masa kurang satu jam,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya lagi, pemeriksaan lanjut oleh pegawai kesihatan mengesahkan lelaki berkenaan telah meninggal dunia.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
