X

Kindly register in order to view this article
!

Perikatan Nasional: MIC akan mesyuarat bincang peranan parti

Antara yang hadir ke Majlis Ramah Mesra di Dewan Gandhi di sini malam tadi.
A
A

SUNGAI PETANI – MIC akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat bagi membincangkan mengenai hala tuju dan peranan partinya supaya lebih jelas selepas pembentukan Perikatan Nasional.

Presidennya, Senator Tan Sri SA Vigneswaran berkata, MIC tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dalam Perikatan Nasional yang digambarkan sebagai kerajaan Bumiputera-Melayu kerana telah berada dalam situasi sedemikian sejak lebih 60 tahun lalu dan MIC sendiri merupakan komponen Barisan Nasional (BN).

"MIC sudah biasa bekerjasama dengan Bumiputera-Melayu. Jadi hubungan dalam Perikatan Nasional bukan suatu masalah.

“Tidak salah seseorang itu mengatakan ia (Perikatan Nasional) adalah kerajaan Bumiputera dan Melayu kerana inilah situasi sebenar," katanya ketika hadir ke Majlis Ramah Mesra di Dewan Gandhi di sini, malam tadi.

Hadir sama ADUN Pantai Merdeka, Ahmad Fadzli Hashim dan beberapa kepimpinan dari UMNO dan Pas.

Vigneswaran berkata, sehubungan itu bagi membincangkan peranan parti yang memperjuangkan suara masyarakat India itu secara lebih jelas, satu mesyuarat akan diadakan bagi membincangkan mengenai hala tuju politik parti selepas menyertai Perikatan Nasional.

Katanya, langkah mewujudkan Perikatan Nasional adalah sangat tepat bagi mengukuhkan ekonomi, perpaduan, integrasi kaum, silaturahim dan semua aspek yang telah terjejas dalam tempoh dua tahun pemerintahan Pakatan Harapan.

Menurutnya, MIC memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berharap supaya beliau lebih mengutamakan aspek ekonomi, kejatuhan ringgit, pelaburan modal dan luar negara serta isu koronavirus (Covid-19) daripada isu yang remeh temeh.

Ketika ditanya berhubung pembahagian kerusi jemaah menteri, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri kelapan tersebut dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menentukannya.

“Kami berharap diberi peluang dalam Kabinet, tetapi terpulang kepada Perdana Menteri dan BN. Bagaimanapun kita berharap sangat peluang akan diberikan bagi beberapa jawatan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!