Serigala purba Dire, Romulus dan Remus cetus fenomena

TEXAS, AMERIKA SYARIKAT – Spesies serigala purba yang dipercayai telah pupus hampir 12,500 tahun lalu kini dihidupkan semula menerusi kejuruteraan genetik, sekali gus mencetuskan keterujaan dalam kalangan komuniti saintifik antarabangsa.
Dua anak serigala dire yang dinamakan Romulus dan Remus, masing-masing berusia enam bulan, telah berjaya dihasilkan oleh syarikat bioteknologi berpangkalan di Texas, Colossal Biosciences.
Menurut laporan CNN, anak serigala itu masing-masing telah mencapai ketinggian hampir 1.2 meter dan berat melebihi 36 kilogram.
Spesies berkenaan sebelum ini dikenali ramai menerusi siri popular HBO, Game of Thrones, yang memaparkan watak haiwan berkenaan sebagai pemburu utama yang pernah mendiami benua Amerika Utara.
Serigala dire mempunyai saiz lebih besar berbanding serigala kelabu, dengan bulu yang lebih tebal serta rahang yang lebih kuat.
Proses penghidupan semula ini melibatkan penggunaan DNA purba yang diambil daripada fosil berusia 13,000 hingga 72,000 tahun, digabungkan dengan teknologi klon dan penyuntingan gen.
George Church, pengasas bersama Colossal dan profesor genetik di Universiti Harvard serta MIT, menyifatkan kejayaan ini sebagai pencapaian revolusioner dalam bidang bioteknologi.
“Kita hanya memerlukan satu vial darah, mengasingkan sel stem, membiak dan mengklon daripadanya. Kecekapan klon yang tinggi ini benar-benar mengubah landskap bidang ini,” katanya kepada Time Magazine.
Usahawan teknologi terkemuka, Elon Musk, turut memberikan reaksi terhadap kejayaan tersebut menerusi satu hantaran di platform X dengan menulis: “Tolong cipta mammoth mini sebagai haiwan peliharaan.”
Walaupun dibesarkan oleh pasukan Colossal sejak lahir, termasuk diberi susu botol selepas beberapa hari pertama menyusu daripada ibu tumpang, kelakuan Romulus dan Remus berbeza daripada anak serigala moden.
Menurut laporan Time, kedua-dua anak serigala dire ini mengelak manusia dan bersikap menyendiri, sejajar dengan sifat asal spesies itu yang dikenali sebagai 'pemburu sunyi'.
Secara keseluruhan, tiga anak serigala dire telah dihidupkan semula iaitu dua jantan yang dilahirkan pada 1 Oktober 2024 dan seekor betina pada 30 Januari 2025.
Ketiga-tiga haiwan itu kini ditempatkan di sebuah kawasan rahsia seluas 2,000 ekar yang dikawal ketat dengan pagar setinggi 10 kaki, pengawasan dron serta kamera keselamatan selama 24 jam.
Colossal turut menyatakan hasrat untuk menghidupkan semula spesies lain seperti mammoth berbulu, burung dodo, dan harimau Tasmania. Walaupun kejayaan dalam projek lain masih terhad, syarikat itu optimis terhadap masa depan.
“Pencapaian besar ini membuktikan bahawa teknologi kami berupaya menghidupkan semula spesies yang telah pupus,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Colossal, Ben Lamm, dalam satu kenyataan media. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

