Perak ambil tindakan mahkamah bendung kes denggi

Sivanesan (kanan) ketika sidang akhbar di pejabatnya di sini pada Selasa.
Sivanesan (kanan) ketika sidang akhbar di pejabatnya di sini pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Perak akan menggunakan saluran undang-undang bagi membendung penularan wabak denggi yang berpunca daripada premis tidak berpenghuni.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, ia dilaksanakan melalui Seksyen 8 Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.

Menurutnya, tindakan undang-undang tersebut dikenakan terhadap pemilik tanah dan premis kosong yang menjadi punca penularan wabak denggi di Perak.

"Dengan penggunaan akta ini, tanggungjawab pembersihan lot-lot tersebut diserahkan kepada pemilik. Pembersihan mesti dilakukan dalam tempoh lima hingga tujuh hari selepas arahan diserahkan kepada pemilik.

"Kegagalan berbuat demikian dalam tempoh yang ditetapkan akan menyebabkan pemilik didakwa di mahkamah," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Denggi Peringkat Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.

Menurutnya, pemilik yang gagal membersihkan premis dalam tempoh lima hingga tujuh hari selepas notis dikeluarkan boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kali pertama.

Katanya, bagi kesalahan berulang, denda maksimum hingga RM50,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan.

Dalam pada itu, Sivanesan berkata, bagi pemilik premis kosong yang sukar dikesan, carian menerusi pejabat daerah dan tanah akan dilakukan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerajaan negeri turut mencadangkan supaya carian maklumat pemilik di pejabat tanah yang dikenakan bayaran antara RM40 hingga RM60 dikecualikan bagi kes berkepentingan awam.

“Jika pemilik tidak dapat dikesan dan premis tersebut gagal dibersihkan, kerajaan negeri boleh mendapatkan deklarasi Mahkamah Sesyen untuk masuk dan bersihkan kawasan itu.

“Kita juga akan semak sama ada pemilik membayar cukai tanah dan cukai pintu. Jika tidak, harta tersebut boleh dirampas dan dilelong,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Sivanesan berkata, setakat Minggu Epidemiologi 13 hanya 780 kes denggi dicatat di seluruh Perak iaitu lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu sebanyak 2,457 kes.

Sivanesan berkata, penurunan ketara kes denggi itu disumbang penurunan ketara di daerah Kinta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!