DUN Perak laksana ikrar Rukun Negara
IPOH – Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akan memperkenalkan lafaz Ikrar Rukun Negara secara rasmi pada setiap persidangan pertama mulai tahun ini.
Timbalan Yang Dipertua DUN Perak, Jenny Choy Tsi Jen berkata, ia akan dimulakan pada Mesyuarat Pertama Tahun Ketiga DUN Perak yang berlangsung dari 15 hingga 22 April ini.
Menurutnya, bagaimanapun lafaz ikrar itu akan dilakukan pada hari kedua persidangan iaitu 16 April.
“Lafaz ikrar ini akan dibuat sebaik sahaja selepas bacaan doa dan akan diketuai oleh Setiausaha Dewan.
"Ikrar Rukun Negara akan dilaksanakan secara rasmi pada setiap persidangan pertama bermula tahun ini sebagai amalan tetap DUN Perak,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.
Menurutnya, Mesyuarat Pertama Tahun Ketiga DUN Perak turut menyaksikan Istiadat Pembukaan Rasmi Persidangan yang dijadualkan berlangsung pada 15 April.
Tambahnya, istiadat berkenaan akan disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang akan turut menzahirkan Titah Diraja.
Jenny Choi berkata, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dijadual turut berangkat pada istiadat berkenaan.
Dalam pada itu, sesi perbahasan Ucapan Menjunjung Kasih Titah Diraja yang dibawa oleh menteri besar akan bermula pada 16 April dan melibatkan 45 ahli dewan termasuk pihak kerajaan dan pembangkang.
“Seperti kelazimannya, sepanjang persidangan tersebut, sesi soalan lisan akan berlangsung. Tempoh sesi soalan lisan akan berlangsung selama satu jam.
"Penggulungan perbahasan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan dijadualkan pada 21 dan 22 April, manakala menteri besar akan menggulung pada hari terakhir persidangan,” katanya.
Ujarnya, orang ramai juga boleh mengikuti siaran langsung persidangan menerusi saluran YouTube rasmi DUN Perak dan pautan yang disediakan di portal rasmi kerajaan negeri serta laman Facebook rasmi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


