Wanita warga emas rentung, 16 rumah setinggan musnah dalam kebakaran

BINTULU - Seorang wanita warga emas maut dalam kebakaran yang memusnahkan 16 rumah setinggan di tepi Sungai Plan, Jalan Tanjung Kidurong di sini pada Isnin.
Mayat Nuie Ipang, 77, ditemukan rentung di lokasi kejadian selepas api berjaya dikawal oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong dengan bantuan pasukan dari BBP Bintulu pada jam 12.03 tengah hari.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak ketika dihubungi berkata, 92 penghuni daripada 16 keluarga terjejas dan kehilangan tempat tinggal dalam kejadian itu.
"Mayat warga emas itu diserahkan kepada polis pada 2.12 petang untuk tindakan lanjut. Jumlah mangsa yang terlibat terdiri daripada 67 orang dewasa dan 25 kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 11.06 pagi.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
