Cukai Soda: Kurang penggunaan gula bukan cari pemanis lain

Dr Boon Chye bersama Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar (dua, kiri) melancarkan Kempen Anti Merokok peringkat Batu Gajah, hari ini.
A
A

BATU GAJAH - Pengusaha minuman ringan dan berkarbonat lebih digalakkan mengurangkan kadar gula dalam penghasilan produk berbanding menggunakan alternatif pemanis lain.

Langkah itu disuarakan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berikutan pelaksanaan cukai soda atau cukai minuman bergula oleh kerajaan bermula 1 April ini.

Menurutnya, penggunaan tambahan pemanis hanya akan meningkatkan kos pengeluaran yang akan menimbulkan isu lain dan bukannya membantu mencapai matlamat kerajaan untuk mengubah tabiat minuman kalangan penduduk negara ini.

“Kita harap dengan memperkenalkan cukai soda, syarikat minuman ini mahir dalam menghasilkan minuman dengan kandungan gula kurang, tidak bermakna minuman itu tidak mengandungi gula, cuma kandungannya tidak begitu manis berbanding sebelum ini.

“Tambahan pula, pelan jangka panjang yang kita mahukan menerusi pengenalan cukai ini adalah untuk mengubah tabiat minuman penduduk,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Derma Darah dan Kempen Anti Merokok peringkat Batu Gajah di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Batu Gajah, hari ini.

Dr Boon Chye berkata, Malaysia kini berada di kedudukan pertama dalam kalangan negara Asia Tenggara berdepan masalah obesiti, diabetes dan hipertensi.

“Kerajaan berusaha mendidik masyarakat menerusi pelbagai mekanisme untuk mengurangkan pengambilan gula berlebihan, salah satunya dengan memperkenalkan cukai soda. Ia usaha Kementerian Kewangan bukan dasar Kementerian Kesihatan.

“Namun kita menyokong pelaksanaannya kerana ia menjadi sebahagian kempen diadakan secara berterusan oleh kementerian. Masyarakat perlu memahami rasionalnya kita memperkenalkan langkah ini, kandungan gula tinggi boleh menyumbang kepada obesiti dan penyakit kronik lain,” katanya.

Kerajaan menerusi pembentangan Belanjawan 2019 buat pertama kalinya mencadangkan pelaksanaan cukai eksais 40 sen seliter pada minuman manis yang mengandungi lima gram gula atau pemanis berasaskan gula bagi 100 mililiter (ml) termasuk buah-buahan dan jus sayuran dengan kandungan gula lebih 12 gram bagi 100 ml mulai 1 April 2019.