Roselle harapan baharu penghuni Puspen

BESUT - Menyedari khasiat dan permintaan tinggi terhadap tanaman roselle atau nama saintifiknya hibiscus sabdariffa, Fakulti Biosumber dan Industri Makanan (FBIM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bekerjasama dengan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Besut melaksanakan projek sosial keusahawanan tanaman itu di bawah program University to Community 2.0.
Pensyarah Kanan FBIM UniSZA, Profesor Madya Dr Nalini Arumugam berkata, pelaksanaan projek di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi itu bukan sahaja bertujuan memberi peluang kedua kepada bekas penagih tetapi dalam masa sama mengangkat potensi tumbuhan tempatan itu.

Menurutnya, penghuni pusat yang terlibat dalam projek berkenaan bukan sahaja dilatih dengan kemahiran teknikal pertanian tetapi juga dalam aspek psikologi dan sosial yang membantu mereka mempersiapkan diri untuk kehidupan di luar nanti.
“Melalui program ini, peserta akan dilatih bukan sahaja untuk menanam roselle tetapi juga untuk memahami aspek teknikal seperti pengurusan tanaman, pemasaran dan penghasilan produk nilai tambah.
"Projek ini dilaksanakan di kawasan tanah kosong seluas kira-kira 0.2 hektar yang terdapat dalam kawasan Puspen ini.
“Kerjasama yang bermula tahun lalu ini bukan sahaja memanfaatkan penghuni Puspen tetapi juga masyarakat setempat yang terlibat dalam ekosistem pertanian roselle.
"Program ini dijangka dapat mempertingkatkan pengeluaran roselle secara besar-besaran, sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada komuniti setempat,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Nalini yang juga mentor kepada program berkenaan, melalui latihan berkala, penghuni terlibat diajar mengenai kaedah untuk mengurus tanaman bermula peringkat penyemaian hingga ke penghasilan produk siap seperti jus kordial, halwa, teh dan aiskrim.
Program ini juga katanya dilihat sebagai satu langkah proaktif dalam membantu bekas penagih dadah untuk memulakan kehidupan baharu.
“Kami mahu mereka keluar dari pusat ini bukan sahaja dengan kemahiran pertanian tetapi juga dengan keyakinan untuk memulakan perniagaan sendiri atau mencari peluang pekerjaan dalam sektor ini,” katanya.
Menyentuh mengenai potensi tanaman berkenaan, Nalini berkata, roselle sememangnya dikenali sebagai tumbuhan berharga di negeri pantai timur Malaysia termasuk Terengganu.
Ujarnya, tumbuhan tersebut bukan sahaja digunakan dalam penghasilan minuman dan jem tetapi juga kaya dengan vitamin C dan antioksidan, menjadikannya bahan popular dalam produk kesihatan dan kecantikan.
Justeru beliau berharap, projek kerjasama antara UniSZA dan Puspen itu bukan sahaja memberi nafas baharu kepada penghuni pusat pemulihan tetapi juga memberi harapan kepada sektor pertanian khususnya Terengganu.
“Dengan potensi roselle yang besar dalam pasaran tempatan dan antarabangsa, program ini dilihat sebagai langkah strategik yang menggabungkan aspek sosial dan ekonomi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

