Penghuni Puspen rindu sambut raya bersama keluarga

Penghuni PUSPEN Gambang sedang mengoreng pisang tanduk untuk dijadikan kerepek. Foto Sinar Harian.
Penghuni PUSPEN Gambang sedang mengoreng pisang tanduk untuk dijadikan kerepek. Foto Sinar Harian.
A
A
A

KUANTAN – Berkumpul dengan keluarga pada pagi Syawal adalah detik yang sangat dirindui oleh penghuni Pusat Pemulihan Narkotik (Puspen) Gambang.

Pengarahnya, Arzmi Abdullah berkata, bagi mengubati kerinduan selepas melalui proses pemulihan yang panjang, pihaknya memberi peluang kepada penghuni tertentu untuk merasai kemeriahan Aidilfitri bersama keluarga tersayang.

Menurutnya setakat ini, seramai 315 penghuni masih berada di pusat tersebut manakala beberapa klien dibenarkan pulang untuk beraya bersama keluarga.

"Klien yang menjalani program dengan baik, menunjukkan kemajuan dalam rawatan mereka dan dapat mengawal diri akan diberi peluang untuk pulang beraya bersama keluarga.

“Bagi kes-kes baru atau yang belum memenuhi kriteria tertentu, mereka tidak dibenarkan pulang.

"Namun, bagi penghuni yang masih berada di pusat ini, kami akan mengadakan program sambutan Hari Raya bersama keluarga pada 9 hingga 11 April ini," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Puspen Gambang.

Arzmi (dua dari kiri) menunjukkan kerepak pisang dan beberapa produk lain yang dihasilkan penghuni Puspen Gambang. Foto Sinar Harian.
Arzmi (dua dari kiri) menunjukkan kerepak pisang dan beberapa produk lain yang dihasilkan penghuni Puspen Gambang. Foto Sinar Harian.

Dalam usaha untuk membantu penghuni mempersiapkan diri kembali ke masyarakat, Arzmi berkata, pihaknya memberi fokus kepada pembangunan kemahiran baru yang relevan dengan keperluan pasaran pekerjaan semasa.

Jelasnya, ini termasuk menyediakan peluang pekerjaan kepada klien-klien pusat pemulihan dadah ini agar mereka dapat berdikari setelah selesai menjalani rawatan.

Artikel Berkaitan:

Arzmi menambah, salah satu produk utama yang dihasilkan melalui projek pertanian di Puspen Gambang adalah pisang tanduk.

"Pada tahun ini, walaupun permintaan sangat tinggi, kami tidak mampu memenuhi semua tempahan.

"Namun, hasil pisang ini memberi manfaat kepada penghuni dalam menjana pendapatan tambahan dan meningkatkan semangat mereka dalam pemulihan," katanya.

Beliau memaklumkan, Puspen Gambang turut menjalankan projek-projek lain seperti penjagaan kambing, ternakan ikan dan pembuatan kuih-muih.

"Melalui projek-projek ini, kami memberikan penghuni pengalaman yang sangat berharga, selain dapat menghasilkan pendapatan selepas tamat tempoh pemulihan," jelasnya.

Arzmi turut menjelaskan hasil daripada projek pertanian dan pemeliharaan ini akan dimasukkan ke dalam penyata pemungut kerajaan dan digunakan semula untuk memastikan kelestarian projek-projek lain di pusat tersebut.

"Kami menggunakan duit Tabung Amanah AADK (Agensi Antidadah Kebangsaan) yang disalurkan oleh pejabat untuk membeli bahan mentah dan peralatan yang diperlukan dalam menjalankan projek-projek ini.

"Pendapatan yang diperoleh akan digunakan untuk memastikan projek ini terus berjalan dan memberi manfaat kepada penghuni," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!